PAS tidak sekat kegiatan seni dan budaya asal tidak melampaui batas: Abdul Hadi Awang
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak menghalang kegiatan seni dan kebudayaan diteruskan di negeri ditadbir parti berkenaan selagi ia mengikut garis panduan ditetapkan.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: AFP)
KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak menghalang kegiatan seni dan kebudayaan diteruskan di negeri ditadbir parti berkenaan selagi ia mengikut garis panduan ditetapkan.
Presiden PAS, Encik Abdul Hadi Awang berkata langkah itu bagi memastikan kesinambungan budaya dan warisan terpelihara kerana ia juga mempunyai unsur positif dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan garis panduan itu, beliau berkata terdapat beberapa perkara perlu dipatuhi seperti ditetapkan dalam dasar diluluskan kerajaan negeri termasuk di Kelantan yang turut membenarkan aktiviti seni Dikir Barat diteruskan.
"Pertama, kesenian itu tidak boleh melekakan, tidak melalaikan dan tiada faedah termasuk tiada pergaulan bebas yang memberikan kesan negatif.
"Dari aspek pakaian pula, mestilah menutup aurat mengikut bangsa masing-masing, namun saya percaya adat kaum Cina dan India juga membudayakan perkara yang baik dan berakhlak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Seni dan Hiburan
Menurut Islam di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, hari ini (26 Jan).
Encik Abdul Hadi berkata PAS juga tidak menyekat kaum bukan Islam mengamalkan seni dan budaya mereka namun mengekalkan ciri keasliannya dan tidak bercampur dengan budaya barat yang negatif.
"Mereka tidak terikat dengan garis panduan ditetapkan malah kita mengiktiraf budaya mereka yang bermoral dan berakhlak," katanya.
Selain itu, Encik Abdul Hadi berkata segala bentuk kesenian tradisional seperti Gamelan, Ulek Mayang, Dikir Barat dan Wayang Kulit turut dibenarkan untuk diteruskan, namun mestilah menghindari perkara negatif seperti pemujaan dan tahyul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.