Skip to main content

Dunia

PAS tidak akan kemuka rayuan terhadap keputusan batal kemenangan Parlimen Kuala Terengganu PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA TERENGGANU: PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Ahmad Amzad Hashim, calon PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya lagi, keputusan itu disahkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat PAS Pusat yang sedang berlangsung di sebuah hotel pada Sabtu (8 Jul).

"PAS bersedia untuk terus diadakan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, serentak dengan pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti," katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Encik Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15, Encik Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita