PAS tetap komited ganding bahu dengan UMNO dalam PN
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan kekal komited dengan kerjasamanya dengan UMNO, menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Selasa (28 Jul).
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (dua dari kiri) kunjungi Najib Razak (tengah) pada 28 Jul 2020 (Gambar: Facebook/Najib Razak)
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan kekal komited dengan kerjasamanya dengan UMNO, menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Selasa (28 Jul).
Kenyataan tersebut dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak atas kesalahan salah guna kuasa berhubung kes SRC International, anak syarikat 1MDB.
Encik Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan dalam kenyataannya semalam, kesungguhan pihaknya turut disertai usaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
"PAS mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Najib hari ini (28 Jul).
"Walau dalam apa keadaan sekalipun, PAS menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuh kerajaan Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam kenyataan yang juga dimuat naik ke laman Facebook.
Malaysiakini turut melaporkan Najib mengongsikan kunjungan Encik Hadi bersama pemimpin PAS lain semalam.
"Sahabat sejati bukan saja mereka yang bersama susah atau senang, tetapi juga mereka yang sentiasa mendoakan kita.
"Sahabat sejati sukar ditemui. Saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah," kata bekas presiden UMNO itu dalam satu catatan ringkas di Facebook.
Malaysiakini memetik Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata bahawa pihaknya akan membuat satu "keputusan politik besar" menyusuli keputusan mahkamah semalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.