PAS tamatkan kerjasama politik dengan BERSATU jelang PRN Johor
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. (Gambar: Facebook/Abdul Hadi Awang)
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat yang diadakan pada Isnin (8 Jun) membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS dan BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Jelasnya, ini bagi meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Ketetapan ini memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.
“Keputusan ini menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (8 Jun), seperti dinukil Astro Awani.
Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada empat parti iaitu BERSATU, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.