Skip to main content

Dunia

PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa saja di Port Dickson

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO yang dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson agar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(PKR) Encik Anwar Ibrahim tidak mendapat laluan mudah.

Anggaran Waktu Membaca:
PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa saja di Port Dickson

Bendera PAS. (Gambar fail: @paspusat/Instagram)

Diterbitkan : 23 Sep 2018 09:09PM Dikemas Kini : 23 Sep 2018 09:13PM

SEPANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO yang dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson agar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(PKR) Encik Anwar Ibrahim tidak mendapat laluan mudah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata PAS sedia meletakkan calonnya menyekat kemenangan percuma kepada Encik Anwar, namun ia bergantung kepada keputusan UMNO.

“Saya percaya akan ada usaha agar tidak berlaku pertandingan banyak penjuru pada PRK Port Dickson. Apa pun sebelum hari penamaan calon, kita masih boleh bincang. Saya percaya kita boleh selesaikan dengan baik.

“PAS sedia bekerjasama tanpa mengira sesiapa bakal menjadi calon, (sama ada) UMNO atau PAS atau pihak ketiga yang bakal meletakkan calon.

“Pembangkang wajar diberikan ruang bekerjasama untuk pilihan raya kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini (22 Sep).

Encik Ahmad Samsuri berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada PAS akan bekerjasama sekiranya UMNO meletakkan calon pada PRK Port Dickson.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Encik Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, untuk membolehkan Encik Anwar yang merupakan Presiden baru PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan, hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal pada 9 Oktober.

Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas mengumumkan akan bertanding pada PRK Port Dickson bagi menentang Encik Anwar. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita