Skip to main content

Dunia

PAS sasar kuasai Pahang, Perak dan Selangor dalam PRU16

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang juga parti pembangkang Malaysia, mula mengorak langkah awal dengan mengisytiharkan hasratnya untuk merampas negeri Pahang, Perak dan Selangor daripada gabungan parti kerajaan dengan memenangi pilihan raya negeri dan membentuk kerajaan tempatan baharu di negeri-negeri berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
PAS sasar kuasai Pahang, Perak dan Selangor dalam PRU16

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang bercakap kepada para wartawan semasa mesyuarat agung tahunan parti itu pada 15 September 2025. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

ALOR SETAR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang juga parti pembangkang Malaysia, mula mengorak langkah awal dengan mengisytiharkan hasratnya untuk merampas negeri Pahang, Perak dan Selangor daripada gabungan parti kerajaan dengan memenangi pilihan raya negeri dan membentuk kerajaan tempatan baharu di negeri-negeri berkenaan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan matlamat baharu itu pada mesyuarat agung tahunan parti tersebut pada Isnin (15 Sep), sambil berikrar bahawa PAS akan memimpin masyarakat “majmuk” negara tanpa meminggirkan hak masyarakat bukan Islam.

Ini meskipun beliau dilihat menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta slogan Malaysia Madani yang diperkenalkan perdana menteri itu selepas beliau mengambil alih pentadbiran pada November 2022.

Dalam ucapan dasarnya pada majlis yang diadakan di Kedah, Encik Abdul Hadi berkata PAS mempunyai “tanggungjawab untuk mempertahankan” kerusi-kerusi negeri dan Parlimennya dalam saingan pilihan raya akan datang, merujuk kepada pilihan raya negeri serta pilihan raya umum negara itu.

Encik Abdul Hadi menyifatkan negeri-negeri yang ditadbir PAS, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sebagai “negeri pangkalan” yang mesti dipertahankan sedang parti itu meneruskan “agenda Islam” selaras dengan bidang kuasa negeri-negeri berkenaan.

“Sementara itu, kemenangan seterusnya dijangka datang dari Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus mengukuhkan lagi wakil PAS dan PN di Parlimen, selain meningkatkan pencapaian di negeri-negeri selatan dan di Sabah, yang akan berdepan pilihan raya negeri tidak lama lagi,” kata beliau, merujuk kepada gabungan pembangkang Perikatan Nasional.

Terdapat kepercayaan yang meluas dalam kalangan kepimpinan PAS bahawa pentadbiran parti itu di negeri-negeri seperti Terengganu dan Kedah harus dilihat sebagai satu isyarat bahawa ia mampu mentadbir negara di peringkat persekutuan, dan bahawa kehadiran yang lebih meluas di peringkat negeri - khususnya dalam kerajaan negeri - akan memperkukuhkan tanggapan tersebut.

Malaysia mempunyai dua peringkat bagi pilihan raya: satu di peringkat persekutuan untuk memilih Ahli Parlimen bagi Dewan Rakyat, dan satu lagi di peringkat negeri untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita