Skip to main content

Dunia

PAS rancang fail petisyen Pilihan Raya buat beberapa kerusi DUN

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: PAS akan meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertikaikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, kata Setiausaha Agung parti itu Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata parti itu juga tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan petisyen pilihan raya terhadap keputusan berkenaan dalam waktu terdekat, namun tidak menyatakan kawasan-kawasan berkenaan.

“PAS percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

“Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (14 Ogos).

Dalam PRN Sabtu (12 Ogos) lepas, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu selain memenangi 43 daripada 45 kerusi di Kelantan dan 33 daripada 36 kerusi di Kedah.

Encik Takiyuddin berkata PAS bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri-negeri yang berada di bawah pentadbiran PN.

“Pada masa sama PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita