Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PAS masih terbuka bergabung parti, kata Setiausaha Agung PAS

Anggaran Waktu Membaca:
PAS masih terbuka bergabung parti, kata Setiausaha Agung PAS

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. (Gambar: Bernama)

KOTA BHARU: PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata selagi belum tiba hari penamaan calon, semua parti termasuk PAS masih mempunyai pilihan untuk menyertai atau mewujudkan sebarang gabungan politik.

"Bagi saya bila Parlimen dibubarkan, selagi belum sampai hari penamaan calon, segalanya mungkin berlaku. Semua perkara boleh berlaku, pembentukan gabungan-gabungan itu boleh berlaku sehinggalah hari penamaan calon.

"Hari penamaan calon menentukan satu-satu parti itu di dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi saya rasa belum berakhir sekiranya ada parti ingin membuat atau mewujudkan gabungan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival KetSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA ) pada Jumaat (14 Okt).

Ketika ditanya sama ada keputusan PAS untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah juga bererti parti itu menolak Muafakat Nasional (MN), Encik Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menafikan dakwaan itu.

"Kenyatan itu mengukuhkan hubungan dengan PN kerana PAS ini adalah gabungan PN...tetapi ada jumpa (dalam) kenyataan menyatakan kita (PAS) memutuskan hubungan dengan MN? Ada atau tidak?," soal beliau.

Mengenai kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa parti itu sedia untuk mempertimbangkan mengenai jalinan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15, Takiyuddin berkata PAS tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Dia (Bersatu) belum minta pandangan kita, saya boleh mengesahkan. Ura-ura itu saya tidak tahu betul atau tidak, kalau betul perkara itu belum dalam pengetahuan kita...kita tidak dirujuk atau diberitahu.

"Berada dalam satu keluarga nak buat apa-apa kita berbincang. Contohnya, PAS berbincang dengan UMNO, kita maklumkan dengan Bersatu secara rasmi," katanya.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan