Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PAS berdepan persaingan sengit pertahankan kubu kuat di Kelantan

Anggaran Waktu Membaca:

KOTA BHARU: Dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia kini sudah hampir mencecah separuh jalan, Pengerusi UMNO Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub pada Khamis (11 Nov) berkata kesemua calon Barisan Nasional (BN) Kelantan berada di landasan terbaik. 

Namun, beberapa isu utama masih terus menjadi percaturan termasuk isu banjir dan juga faktor pengundi muda.

PERTIMBANGAN PENGUNDI 

Seperti banyak kawasan lain di Malaysia, Kelantan sedang berdebar-debar menantikan kedatangan musim banjir yang lazimnya berlaku pada pertengahan bulan November.

Sekolah-sekolah antara tapak yang sedang dipersiapkan untuk dijadikan pusat-pusat bantuan.

Dengan pilihan raya berlangsung di tengah-tengah musim tengkujuh, sebilangan penduduk tidak menyembunyikan rasa bimbang.

"Kalau hujan banjir ke, dia orang memang tidak akan keluarlah," kata seorang penduduk yang ditemui. 

"Banjir itu kan kuat, banyak kan? Nak pergi macam mana?," soal seorang lagi penduduk. 

Namun, ada yang tetap akan mengundi.

"Walaupun banjir, tetap kena mengundi. Walaupun kena naik perahu sekalipun," ujar seorang lagi penduduk. 

Isu-isu lain yang bermain di fikiran para pengundi semestinya adalah kos kehidupan yang semakin tinggi dan keperluan asas seperti bekalan air.

"Saya tak kisah mana-mana parti yang memerintah. Cuma kita hendak parti yang lebih duduk dengan rakyat. Tahu macam mana susah, tahu macam mana senang," luah seorang penduduk. 

"Dari segi kebajikan dia orang abaikan, mereka akan undi parti lain. Semua atas pagarlah," kata seorang lagi penduduk yang ditemui. 

Kelantan merupakan lubuk pengundi Melayu yang konservatif di bawah pimpinan PAS sejak 32 tahun lalu, dengan 14 kerusi parlimen menjadi taruhan di negeri tersebut.

Bagaimanapun, sesetengah pakar politik percaya PAS akan menerima persaingan sengit dari UMNO.

"Kedua-dua parti ini berpeluang untuk memenangi pilihan raya ini dengan memanfaatkan undi muda. Undi muda itu maksud saya di bawah usia 40, sebab undi yang atas 45 itu saya kira mereka masih lagi menyokong PAS," kata Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, Zamil Penyelidik di Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). 

Maka itu, bagi menambat hati golongan muda, parti-parti politik meletakkan calon muda dan juga memanfaatkan media sosial.

"Apapun, sudah tentu pada akhirnya calon boleh menang dijadikan ciri yang paling penting. Saya sudah tentu akan membuat rundingan secara dalaman untuk menampilkan calon-calon mudalah," ujar Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Bagi Pengerusi BN Kelantan, Encik Ahmad Jazlan Yaakub, media sosial memainkan peranan yang paling penting untuk mendekati pengundi muda. 

"Cara konvensional sebenarnya sudah tidak berkesan untuk orang muda. Kita sentiasa memberi kesedaran, penerangan langsung dan tidak langsung kepada orang muda untuk mereka keluar mengundi," katanya. 

Encik Ahmad Jazlan pada Khamis berkata beliau optimis BN dapat mencapai sasaran memenangi sembilan kerusi parlimen di Kelantan.

Sumber : Agensi berita/DY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan