PAS belum terima tawaran sertai kerajaan perpaduan; tunggu keputusan DAP pada 16 Ogos
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang semasa Muktamar Tahunan PAS ke-69 di Shah Alam, Selangor pada 21 Oktober 2023. PAS mengesahkan parti itu belum menerima sebarang tawaran untuk menyertai kerajaan perpaduan. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu belum menerima sebarang risikan atau tawaran untuk menyertai kerajaan perpaduan.
“Untuk 16 Ogos ini kita tunggu dan lihat, kita juga tidak menerima sebarang risikan atau tawaran (sertai kerajaan). Saya mengesahkan memang tiada setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Induk Muktamar Tahunan PAS Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada Ahad malam (9 Ogos).
Sebelum ini, media melaporkan bahawa DAP akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan semasa Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan berkata satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada para perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan tersebut.
Menurut beliau, persidangan itu juga akan menentukan hala tuju masa depan DAP dalam arena politik Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.