Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PAS akan bertemu Sultan Perak berhubung kemelut politik negeri, kata ahli exco

Parti PAS Perak belum menerima secara rasmi arahan untuk bertemu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
PAS akan bertemu Sultan Perak berhubung kemelut politik negeri, kata ahli exco

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Dec 2020 02:04PM Dikemas Kini : 09 Dec 2020 02:06PM

IPOH: Parti PAS Perak belum menerima secara rasmi arahan untuk bertemu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata pihaknya akan menghadap Sultan Nazrin apabila arahan secara rasmi dikeluarkan demikian.

"Setakat ini kami (PAS Perak) belum terima lagi secara rasmi arahan menghadap tuanku," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu (9 Dis).

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu mengarahkan semua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perak supaya hadir setelah menerima arahan rasmi daripada Sultan Nazrin.

Selain Encik Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS adalah Encik Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Encik Khalil Yahaya (Kubu Gajah). 

Semalam, Encik Razman berkata pihaknya membatalkan majlis bertemu Sultan Nazrin di Istana Kinta yang dijadual pada 3 petang atas arahan pucuk pimpinan parti. 

Selain PAS, Bersatu juga tidak bertemu dengan Sultan Nazrin semalam dan menurut Pengerusi Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu pihaknya belum menerima arahan secara rasmi untuk menghadap Sultan Perak. 

Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin memerintah wakil daripada ADUN Bersatu dan PAS negeri untuk bertemu beliau berhubung kemelut politik negeri.

Encik Mohd Annuar dilaporkan berkata istana menunggu wakil daripada kedua-dua parti untuk bertemu Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu. 

Kemelut politik Perak tercetus selepas Encik Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu. 

Menerusi usul yang dibawa Encik Abdul Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Encik Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali dan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehari selepas itu. 

Setakat ini, Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Saarani Mohamad; pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Asmuni Awi serta ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah bertemu Sultan Nazrin. 

Sumber : Bernama/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan