Skip to main content

Dunia

Parti Republican desak Trump ubah dasar susuli kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berdepan tekanan daripada anggota Parti Republican supaya mengubah dasar dan merombak pasukan pentadbirannya, selepas parti itu mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa (3 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Republican desak Trump ubah dasar susuli kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika

Para penyokong Parti Democrat meraikan keputusan pilihan raya pertengahan penggal Amerika di Washington DC pada Selasa (3 Nov 2026). (Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 12:21PM
Republicans urge Trump to change course after major loss in US midterm elections
  • The Democratic Party won control of both chambers of Congress in the US midterm elections on Nov 3, undermining President Donald Trump’s ability to carry out his agenda.
  • Republican lawmakers and strategists, including John Feehery, called for policy changes and an administration shake-up, blaming the Iran war, tariffs and White House leadership.
  • Vice President JD Vance blamed the eight-month Iran war; Trump acknowledged its impact on Republican candidates but defended the conflict despite internal polls having issued warnings.
  • Democratic control allows investigations and restrictions on Trump’s agenda, while he is expected to rely on executive powers for immigration, tariffs and spending; the losses also raised questions about his influence ahead of the 2028 elections.
Dijana oleh AI

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berdepan tekanan daripada anggota Parti Republican supaya mengubah dasar dan merombak pasukan pentadbirannya, selepas parti itu mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa (3 Nov).

Keputusan tersebut menyaksikan Parti Democrat merampas penguasaan kedua-dua dewan Kongres, sekali gus menjejas keupayaan Encik Trump melaksanakan agenda pentadbirannya bagi baki tempoh jawatannya.

Beberapa sekutu dan pakar strategi Parti Republican menyalahkan perang Iran, dasar tarif serta kelemahan kepimpinan Rumah Putih atas kekalahan itu.

Pakar strategi veteran Parti Republican, John Feehery, menyifatkan keputusan pilihan raya tersebut sebagai satu bencana besar bagi Encik Trump dan menggesanya merombak pasukan pentadbiran.

Bagaimanapun, Encik Trump tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengubah haluan.

Beliau memberitahu Fox News bahawa beliau tidak menganggap keputusan tersebut sebagai penolakan terhadap dirinya.

PERANG IRAN JADI PUNCA UTAMA KEKALAHAN

Naib Presiden JD Vance pada Rabu (4 Nov) menyalahkan perang Iran sebagai antara punca kekalahan Parti Republican, sekali gus dilihat cuba mengambil pendirian berbeza daripada Encik Trump.

Encik Trump sendiri mengakui perang yang sudah berlarutan selama lapan bulan itu menjejas peluang calon Parti Republican, namun tetap mempertahankan keputusannya melancarkan konflik tersebut.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih yang enggan dinamakan berkata tinjauan dalaman sejak enam minggu sebelum pilihan raya sudah memberi amaran bahawa Parti Republican berisiko kehilangan kedua-dua dewan Kongres.

Namun, Encik Trump didakwa enggan mengubah pendiriannya mengenai perang Iran meskipun diberi amaran tentang kesan politiknya.

Selain perang tersebut, beberapa penasihat Parti Republican turut menyuarakan kebimbangan terhadap tumpuan Encik Trump kepada projek pembinaan dewan besar Rumah Putih dan kerja pengubahsuaian di Washington, ketika pengundi semakin tidak berpuas hati dengan dasar pentadbirannya.

RUMAH PUTIH BERDEPAN SIASATAN KONGRES

Penguasaan Parti Democrat ke atas Kongres membolehkan parti itu menyekat rang undang-undang Encik Trump, menyiasat pentadbirannya dan mencabar pencalonan pegawai kanan.

Pegawai Rumah Putih juga dilaporkan sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan perubahan anggota Kabinet, peletakan jawatan kakitangan dan siasatan oleh Kongres.

Namun, Encik Trump dijangka lebih bergantung kepada kuasa eksekutif untuk meneruskan agendanya, termasuk dalam bidang imigresen, tarif dan perbelanjaan pemerintah.

Walaupun kuasa tersebut membolehkannya melaksanakan sebahagian dasar tanpa kelulusan Kongres, ia tidak dapat menghalang siasatan yang mungkin dilancarkan Parti Democrat.

Kekalahan itu turut menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Encik Trump dalam Parti Republican, menjelang pilihan raya presiden Amerika pada 2028.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita