Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parti protentera Thailand tidak tergesa-gesa bentuk kerajaan campuran

Parti protentera, Palang Pracharat, mendakwa sedang berunding dengan beberapa parti untuk membentuk gabungan yang stabil tetapi tidak tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan baru Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti protentera Thailand tidak tergesa-gesa bentuk kerajaan campuran

Pemimpin parti Palang Pracharat, Uttama Savanayana, semasa berkempen pada 17 Mac. (Gambar fail: Madaree Tohlala/AFP)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 09:01AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 09:05AM

BANGKOK: Parti protentera, Palang Pracharat, mendakwa sedang berunding dengan beberapa parti untuk membentuk gabungan yang stabil tetapi tidak tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan baru Thailand.

Pemimpin parti itu, Uttama Savanayana, bagaimanapun, enggan mendedahkan parti yang terlibat dalam rundingan itu serta jumlah kerusi yang disasarkan untuk dicapai.

Beliau berkata 'masih ada banyak masa’ untuk proses rundingan kerana keputusan rasmi pilihan raya umum hanya akan diumumkan pada 9 Mei.

“Kami sedang berbincang dengan parti kecil dan besar. Kami yakin dapat mencapai jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti tersebut pada Rabu (27 Mac).

Beliau menegaskan sokongan terhadap mengekalkan Jeneral Prayut Chan-o-cha sebagai perdana menteri merupakan salah satu syarat dalam perbincangan dengan parti yang berkongsi ideologi politik sama dengan mereka.

"Kami akan memastikan jumlah kerusi yang sebanyak mungkin untuk membentuk gabungan. Kami tidak menyekat sesiapa sahaja untuk membentuk sebuah kerajaan baru,” katanya sambil menjelaskan rakyat mengharapkan proses menubuhkan kerajaan berjalan lancar.

Calon perdana menteri daripada parti Pheu Thai, Sudarat Keyuraphan sebelum ini berkata, Palang Pracharat cuba membentuk sebuah gabungan walaupun gagal memenangi jumlah besar kerusi pada pilihan raya itu.

Awal semalam (27 Mac), Pheu Thai, yang mempunyai kaitan dengan mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan enam lagi parti gabungan, mendakwa mempunyai sekurang-kurangnya 255 kerusi untuk membentuk kerajaan baru.

Cik Sudarat berkata enam parti lain yang menyertai gabungan itu ialah Parti Future Forward, Seri Ruam Thai, Prachachart, Pheu Chart, Thai People Power dan New Economics. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan