Skip to main content

Dunia

Parti pemerintah Korea Selatan menang besar dalam pilihan raya tempatan, namun mungkin kalah di Seoul

Parti Democratic yang memerintah di bawah Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya tempatan, menurut keputusan awal pengiraan undi pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Parti pemerintah Korea Selatan menang besar dalam pilihan raya tempatan, namun mungkin kalah di Seoul

Para pegawai pilihan raya membawa peti undi bagi pilihan raya tempatan ke sebuah pusat pengiraan undi di Seoul, Korea Selatan, pada 3 Jun 2026. (Gambar fail: REUTERS/Kim Hong-Ji)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 01:04PM
SEOUL: Parti Democratic yang memerintah di bawah Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya tempatan, menurut keputusan awal pengiraan undi pada Khamis (4 Jun). Namun, parti itu dijangka kalah dalam perebutan jawatan Datuk Bandar Seoul yang penting di tengah-tengah kontroversi kekurangan kertas undi.

Penyandang daripada parti pembangkang Parti People Power (PPP), Oh Se-hoon, diunjurkan meraih kemenangan tipis di ibu negara itu. Beliau mendahului pencabar daripada Parti Democratic, Chong Won-o, dengan kelebihan yang sangat kecil setakat pukul 8.00 pagi waktu tempatan (pukul 7.00 pagi waktu Singapura).

Pada masa yang sama, kiraan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional (NEC)menunjukkan calon Parti Democratic memenangi Busan dan sedang mendahului dalam 12 daripada 16 pertandingan bagi jawatan datuk bandar dan gabenor wilayah di seluruh negara, meskipun proses pengiraan undi masih berjalan di beberapa kawasan.

Kekalahan di Seoul, bandar terbesar Korea Selatan dan pertaruhan politik paling berprestij, akan menjadi tamparan yang simbolik kepada Encik Lee meskipun partinya mencatat prestasi lebih baik secara keseluruhan. Ia juga sekali gus menjejaskan tanggapan bahawa tahun pertama pentadbirannya menerima sokongan padu daripada para pengundi.

Para penganalisis berkata penguasaan ibu negara mempunyai nilai politik yang sangat besar, dan keputusan itu boleh mengurangkan pengaruh parti pemerintah bahawa ia menerima mandat nasional yang kukuh, walaupun berjaya menguasai majoriti pemerintah tempatan.

Walau bagaimanapun, prestasi keseluruhan Parti Democratic menunjukkan Encik Lee masih menikmati sokongan meluas di peringkat nasional, didorong pertumbuhan eksport yang kukuh hasil ledakan cip kecerdasan buatan (AI) serta kenaikan pasaran saham yang membantu mengekalkan kadar sokongan tinggi terhadap beliau.

KEKURANGAN KERTAS UNDI DI SEOUL

Proses pengundian dicemari gangguan di beberapa kawasan di Seoul apabila kertas undi kehabisan di beberapa pusat mengundi, dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi melebihi jangkaan.

Kekurangan kertas undi itu, yang dilaporkan berlaku di berpuluh-puluh pusat mengundi, memaksa sebahagian daripada pengundi untuk menunggu selama berjam-jam atau pulang tanpa mengundi. Tempoh pengundian turut dilanjutkan di pusat-pusat yang terjejas.

Kejadian tersebut mencetuskan bantahan daripada sebahagian pengundi dan kumpulan konservatif. Beberapa pemimpin PPP – sebelum ia menjadi jelas bahawa mereka berada di landasan yang baik untuk mengekalkan jawatan Datuk Bandar Seoul – berhimpun di luar NEC untuk menuntut agar proses pengiraan undi dihentikan dan pilihan raya diadakan semula atas alasan ia sudah "dicemari".

NEC memohon maaf dan menyatakan bahawa siasatan penuh akan dijalankan, namun menegaskan bahawa kejadian tersebut tidak menjadi sebab untuk menangguhkan pilihan raya atau mengadakan pengundian semula.

Pada Rabu, para pengundi mengundi bagi memilih datuk bandar dan gabenor di 16 bandar dan wilayah dalam satu pilihan raya yang dilihat secara meluas sebagai penilaian terhadap pentadbiran Encik Lee.

Ia juga dilihat sebagai ujian sama ada golongan konservatif mampu bangkit semula selepas kejadian yang melibatkan mantan Presiden Yoon Suk Yeol yang gagal melaksanakan undang-undang tentera pada 2024.

Sebelum pilihan raya itu, PPP menguasai 12 daripada 16 pemerintah tempatan. Namun keputusan awal menunjukkan parti tersebut tetap dijangka kehilangan pengaruh secara keseluruhannya meskipun berjaya mempertahankan Seoul.

Parti Democratic pula mencatatkan kemajuan di seluruh negara, termasuk di Busan yang secara tradisinya merupakan kubu kuat pihak konservatif. Perkembangan itu menunjukkan sokongan para pengundi yang berterusan terhadap agenda ekonomi dan pembaharuan yang dibawa Encik Lee.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita