Skip to main content

Dunia

Parti-parti Indonesia pertimbang siasatan Parlimen terhadap kelayakan pendidikan Naib Presiden Gibran

Beberapa parti politik Indonesia sedang mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan Parlimen terhadap kesahihan kelayakan pendidikan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti-parti Indonesia pertimbang siasatan Parlimen terhadap kelayakan pendidikan Naib Presiden Gibran

Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kiri) menyampaikan ucapan tahunan kenegaraan sedang Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka mendengar di bangunan Parlimen di Jakarta pada 14 Ogos 2026, menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia. (Gambar: AP/Dita Alangkara)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 02:52PM
Indonesian parties consider parliamentary investigation into Vice-President Gibran’s educational qualifications
  • Four parties, including PKS, PKB, Golkar and PDI-P, are discussing parliamentary action over Vice-President Gibran Rakabuming Raka’s educational qualifications following a court ruling related to his candidacy documents.
  • The court found that Gibran’s senior high school education documents were incomplete and that he did not meet the eligibility requirements, but the Constitutional Court rejected a petition to remove him from office.
  • The parties are considering options including asking the Government for an explanation, holding an investigation or stating an official position; these steps could open the way to an impeachment process, but no party has mentioned it specifically.
  • The discussions are taking place in Indonesia amid reported tensions between Prabowo and Joko Widodo and public dissatisfaction triggered by a communications interception scandal; seven of the eight parties in Parliament support Prabowo’s coalition.
Dijana oleh AI

JAKARTA: Beberapa parti politik Indonesia sedang mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan Parlimen terhadap kesahihan kelayakan pendidikan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.

Langkah itu dipertimbangkan ketika hubungan antara Presiden Prabowo Subianto dengan mantan Presiden Joko Widodo, yang juga bapa Encik Gibran, dilaporkan semakin tegang.

Cadangan tersebut menyusuli keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung Indonesia yang mendapati kelayakan pendidikan sekolah menengah atas Encik Gibran di luar negara tidak memenuhi syarat undang-undang bagi calon naib presiden dan diterima secara tidak wajar oleh pihak berkuasa pilihan raya.

Mahkamah Perlembagaan sebelum ini menolak petisyen untuk melucutkan jawatan Encik Gibran, walaupun mendapati dokumen pendidikan yang dikemukakan bagi pencalonannya dalam Pilihan Raya Presiden 2024 tidak lengkap.

Perkembangan terbaru itu turut menyusuli penangkapan mantan Ketua Staf Encik Prabowo, Listyo Sigit Prabowo, berhubung skandal pemintasan komunikasi yang menurut pemerintah Indonesia boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.

Encik Listyo, yang juga mantan Ketua Polis Negara, dikenali sebagai penyokong setia Encik Joko Widodo.

EMPAT PARTI PERTIMBANG TIGA PILIHAN TINDAKAN

Tiga parti dalam gabungan pimpinan Encik Prabowo dan sebuah parti di luar gabungan itu menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan tiga pilihan tindakan melalui Parlimen.

Di bawah Perlembagaan Indonesia, anggota Parlimen boleh meminta penjelasan daripada pemerintah, menjalankan siasatan atau menyatakan pendirian rasmi terhadap dakwaan pelanggaran undang-undang atau perlembagaan.

Setiap pilihan itu boleh menjadi langkah awal ke arah proses pemecatan daripada jawatan.

Bagaimanapun, tiada parti yang terlibat menyebut secara khusus kemungkinan memecat Encik Gibran.

Pegawai kanan Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Muhammad Kholid, berkata partinya sedang meneliti pilihan tersebut dan mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik lain.

Beliau berkata kebanyakan parti sudah mencapai persetujuan bahawa keputusan kedua-dua mahkamah perlu disusuli tindakan Parlimen.

Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), yang turut menyertai gabungan Encik Prabowo, juga sedang mempertimbangkan secara serius ketiga-tiga pilihan tersebut.

Perkara itu dinyatakan pegawai parti berkenaan, Muhammad Khozin.

Anggota Parlimen Parti Golkar, Ahmad Doli Kurnia, pula berkata langkah menyatakan pendirian rasmi merupakan tindakan paling sesuai sebagai susulan kepada keputusan kedua-dua mahkamah, lapor media tempatan.

Golkar, yang turut menyertai gabungan Encik Prabowo, merupakan parti kedua terbesar dalam Parlimen Indonesia dari segi jumlah kerusi.

Related article image
Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di bangunan Parlimen di Jakarta pada 14 Ogos 2026 bagi menyampaikan ucapan mengenai cadangan Belanjawan 2027. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)

KETEGANGAN POLITIK SEMAKIN MENINGKAT

Tujuh daripada lapan parti yang mempunyai wakil dalam Parlimen Indonesia kini menyertai gabungan Encik Prabowo, sekali gus memberikan beliau sokongan majoriti.

Bagaimanapun, Encik Joko Widodo dan Encik Gibran tidak mempunyai parti yang diwakili dalam Parlimen.

Satu-satunya parti di luar gabungan Encik Prabowo, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), menyatakan rasa tidak puas hati masyarakat berhubung kelayakan pendidikan Encik Gibran serta kes pemintasan komunikasi mendorong anggota Parlimen mempertimbangkan tindakan.

Pegawai kanan parti itu, Hasto Kristiyanto, berkata perbincangan dalam kalangan anggota Parlimen semakin giat mengenai penggunaan hak perlembagaan mereka, khususnya selepas kes pemintasan komunikasi tersebut.

Pejabat Naib Presiden Indonesia tidak memberikan respons terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita