Parti Muda diingatkan jangan ambil mudah sentimen pengundi 18 tahun jelang PRN Johor
Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Pimpinan tertinggi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diingatkan supaya jangan mengambil mudah sentimen Undi18 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, oleh itu, Muda perlu bekerja lebih kuat berbanding parti-parti lain dengan membina politik matang tanpa menjatuhkan pihak lawan serta menumpukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Biar kita berlumba-lumba bukan untuk jatuhkan parti lain tetapi berlumba agar kita dapat berikan tawaran dan khidmat yang lebih baik.
"Ini kerana anak muda ketika ini lebih bijak dan pandai, mereka tidak akan mengundi seseorang hanya kerana calon itu muda. Golongan ini lebih berfikiran matang, berpendidikan dan tahu apa lebih baik untuk diri mereka,” dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri program Santai Tengah Hari bersama Komuniti Ulu Tiram di Johor hari ini (5 Feb).
Ditanya mengenai desas-desus sama ada beliau akan bertanding pada PRN Johor kali ini, Syed Saddiq berkata bahawa perkara itu bukanlah sesuatu yang rakyat ingin tahu ketika ini tetapi mereka mahu mendengar huraian yang akan dibawa Muda untuk membantu mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 74,000 hingga 76,000 orang sudahpun mendaftar sebagai ahli Muda merangkumi seluruh negara setakat minggu lalu.
PRN Johor bakal diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan pada 22 Januari lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Februari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.