Parti Keadilan Rakyat tolak Mahathir, kekal calonkan Anwar sebagai PM
Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (MPP PKR) hari ini (19 Jun) memuktamadkan keputusan parti itu yang kekal mencalonkan Presidennya, Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Anwar Ibrahim memandang mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad semasa satu sidang media di Putrajaya, Malaysia, pada 23 Nov 2019. (Gambar fail: Lim Huey Teng/REUTERS)
KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (MPP PKR) hari ini (19 Jun) memuktamadkan keputusan parti itu yang kekal mencalonkan Presidennya, Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Mesyuarat MPP parti yang diadakan pagi tadi (19 Jun)turut memutuskan bahawa PKR tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Menurut kenyataan MPP PKR hari ini, parti itu mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.
"PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
"Bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," menurut kenyataan itu.
Kemelut memilih calon perdana menteri PH tercetus apabila parti komponen gabungan itu dilihat seakan-akan tidak mencapai kata sepakat dalam menentukan calon perdana menteri sekiranya membentuk kerajaan.
“PKR pada masa sama akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa,” menurut kenyataan itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.