Parti Hun Sen menang besar, keputusan ditolak pembangkang
Parti yang memerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri Hun Sen meraih kemenangan besar, sekaligus memperkukuhkan kedudukan parti tersebut pada Ahad (29 Jul).
PHNOM PENH: Parti yang memerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri Hun Sen meraih kemenangan besar, sekaligus memperkukuhkan kedudukan parti tersebut pada Ahad (29 Jul), dalam pilihan raya yang pada awalnya bergolak.
Tanpa ditandingi pembangkang utama, Parti Menyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang dibubarkan lewat tahun lalu, kiraan awal undi meramalkan bahawa CPP memperolehi sekitar 80 peratus undi dan dapat merebut sekurang-kurangnya 100 kerusi daripada 125 kerusi dewan, menurut jurucakap parti Sok Eysan.
"Ia tidak kurang 100 kerusi dan mungkin melebihi 100 kerusi," tambah beliau.
Pemimpin pembangkang Kemboja yang diusir keluar negara, Sam Rainsy mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara itu.
Beliau menggesa bantahan secara aman dianjurkan bagi menolak keputusan itu.
Suruhanjaya pilihan raya menyatakan bahawa 80 peratus pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Keadaan di pusat-pusat mengundi di ibu kota Phnom Pehn bagaimanapun menggambarkan suasana yang berbeza daripada apa yang dijelaskan jurucakap CPP, dengan 17 peratus undi rosak dilaporkan.
Manakala di wilayah-wilayah Kandal, Kampong Cham dan Takeo, terdapat jumlah tinggi undi rosak yang melebihi 10 peratus.
Tiada pemantau rasmi dari negara-negara Barat hadir di pilihan raya kali ini, manakala para pegawai dari Jepun pula menarik diri sehari sebelum hari mengundi kerana bimbang dengan keadaan politik di negara tersebut.
Keputusan rasmi pilihan raya ini dijangka diumumkan pada 15 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.