Skip to main content

Dunia

Parti disokong tentera Myanmar dahului fasa pertama pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
Parti disokong tentera Myanmar dahului fasa pertama pilihan raya
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mengira undi di sebuah pusat mengundi semasa pilihan raya umum Myanmar di Yangon, Myanmar, pada 28 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Stringer)

NAYPYIDAW: Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) yang disokong tentera Myanmar sedang mendahului selepas fasa pertama pilihan raya umum yang berkontroversi.

Demikian menurut keputusan awal yang ditukil media pemerintah, dalam undian pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Selepas mencetuskan pemberontakan di seluruh negara setelah menghuraikan bantahan prodemokrasi menyusuli rampasan kuasa, junta tentera menyatakan undian tiga fasa itu akan membawa kestabilan politik kepada negara Asia Tenggara itu.

Keputusan separa daripada pilihan raya pertama Myanmar sejak 2020, yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) bagi 56 kawasan undi, menunjukkan parti yang disokong junta itu menang dengan peratusan undi yang besar seperti yang dijangkakan, walaupun hanya segelintir penduduk keluar mengundi.

Keputusan yang diterbitkan pada Jumaat (2 Jan) menunjukkan USDP, yang diketuai oleh jeneral bersara, memenangi 38 daripada 40 kerusi di Pyithu Hluttaw, atau dewan rendah, yang keputusannya sudah dikira.

Parti Demokratik Kebangsaan Shan, juga dikenali sebagai Parti Harimau Putih dan Parti Perpaduan Mon (MUP) masing-masing mendapat satu kerusi.

Dalam kalangan sejumlah kecil parti yang dipilih oleh junta untuk bertanding dalam pilihan raya, USDP juga memenangi 14 kerusi daripada 15 kerusi wilayah atau Negeri Hluttaw yang diambil kira dalam sistem undi pertama, manakala Parti Pembangunan Kebangsaan Akha menang satu kerusi.

Bagi dewan tinggi, atau Amyotha Hluttaw, hanya satu kerusi sudah dimuktamadkan, yang dimenangi oleh Parti Kebangsaan Wa.

Tiada tarikh ditetapkan untuk keputusan akhir pilihan raya, yang dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beberapa negara Barat dan kumpulan hak asasi manusia kerana parti politik antijunta tidak dibenarkan bertanding dan adalah menyalahi undang-undang untuk mengkritik proses pengundian tersebut.

Panel pilihan raya tidak mendedahkan jumlah kawasan undi dalam fasa pertama, sebaliknya memilih untuk mengeluarkan keputusan separa berdasarkan kawasan pilihan undi.

Pada Rabu (31 Dis), junta menyatakan 52 peratus pengundi, atau lebih separuh daripada mereka yang layak, keluar mengundi pada fasa pertama pilihan raya.

Walau bagaimanapun, jumlah itu tidak mencapai kira-kira 70 peratus dalam pilihan raya umum pada 2020 dan 2015, menurut badan tidak mengaut keuntungan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, International Foundation for Electoral Systems.

Dua lagi pusingan undi,  yang ditetapkan pada 11 Januari dan 25 Januari, akan meliputi 265 daripada 330 bandar kecil di Myanmar, yang sebahagiannya tidak dikuasai sepenuhnya oleh junta.

Aung San Suu Kyi, pemenang Hadiah Keamanan Nobel yang digulingkan oleh tentera beberapa bulan selepas beliau memenangi pilihan raya umum terakhir dengan kemenangan besar pada 2020, masih ditahan. 

Liga Kebangsaan bagi Demokrasi, iaitu partinya, sudah dibubarkan.

Penganalisis berkata usaha junta untuk menubuhkan pemerintah yang stabil di tengah-tengah perang, sangat berisiko, dan pengiktirafan asing yang meluas juga tidak mungkin berlaku bagi mana-mana pentadbiran yang dikawal tentera dengan penampilan orang awam.

Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita