Skip to main content

Dunia

Parti Amanah yakin pendakwaan terhadap Sanusi tidak akan cetus 'gelombang hijau' di 6 negeri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa (18 Jul) tidak akan menyebabkan ‘gelombang hijau’ di enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata ini kerana rakyat sedar tindakan mahkamah tersebut dibuat berlandaskan undang-undang negara dan bukan bermotifkan politik.

“Saya rasa anak-anak muda, orang (masyarakat) Melayu sebenarnya faham apa akhlak dan budi pekerti orang Melayu yang sepatutnya. Saya tidak rasa ia akan menjadi gelombang besar untuk rakyat menyokong tokoh politik seperti ini.

“Rakyat boleh menilai dan untuk itu berpeganglah pada prinsip, jangan melampau ataupun melampaui batas,” katanya kepada wartawan pada program pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Air Asia Superapp di KL Sentral pada Selasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Awang Hashim pada Selasa yang mendakwa proses pendakwaan terhadap Encik Muhammad Sanusi dilakukan kerana tarikh PRN sudah semakin hampir.

Pada pagi Selasa, Encik Muhammad Sanusi, 48 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Encik Muhammad Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak pada 11.00 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 (S$1,460) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita