Parlimen Tunisia luluskan pemerintah baru
Parlimen Tunisia pada Selasa (1 Sep) meluluskan barisan kabinet di bawah pimpinan baru Perdana Menteri, Hichem Mechichi, lapor agensi berita Xinhua.
Encik Hichem Mechichi (Gambar: AFP/Fethi Belaid)
TUNIS: Parlimen Tunisia pada Selasa (1 Sep) meluluskan barisan kabinet di bawah pimpinan baru Perdana Menteri, Hichem Mechichi, lapor agensi berita Xinhua.
Terdiri daripada 28 anggota, 25 menteri dan tiga setiausaha negara, pemerintah Tunisia yang baru itu menerima 134 undi menyokong dan 67 lagi membantah.
Kabinet kali ini dibarisi pemimpin daripada pelbagai latar belakang, termasuk pengurus besar, pakar, ahli akademik serta eksekutif kanan dari sektor pentadbiran dan swasta.
Berucap semasa sidang parlimen, Encik Mechichi percaya barisan kepemimpinan baharu itu akan menjadi pemerintah yang cekap dan mampu mencipta perubahan untuk mencapai penyelesaian yang inovatif.
Tambah beliau kerajaan akan berusaha menyelesaikan kemelut kewangan, meningkatkan pencapaian sektor awam, pelaburan dan kuasa beli.
Menurut perlembagaan Tunisia, kabinet baru memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 109 daripada 217 anggota parlimen.
Barisan kabinet Encik Mechichi dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Kais Saied minggu ini.
Sejak Oktober lalu, kabinet baru itu adalah yang ketiga dibentuk.
Pada 10 Januari, pemerintah pimpinan Encik Habib Jemli gagal mendapat kepercayaan, memberi ruang kepada Encik Elyes Fakhfakh untuk membentuk pemerintah baru sebelum meletakkan jawatan pertengahan Julai lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.