Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parlimen Thai tunda keputusan pinda perlembagaan

Parlimen Thailand memutuskan pada Khamis (24 Sep) untuk menunda keputusan meminda perlembagaan yang dituntut oleh para penunjuk perasaan antikerajaan yang mengadakan tunjuk perasaan hampir setiap hari selama lebih dua bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Thai tunda keputusan pinda perlembagaan

Tunjuk perasaan pro demokrasi di Thailand pada 24 Sep 2020 menuntut pindaan perlembagaan (Gambar: AFP/Mladen Antonov)

Diterbitkan : 25 Sep 2020 09:15AM Dikemas Kini : 25 Sep 2020 09:24AM

BANGKOK: Parlimen Thailand memutuskan pada Khamis (24 Sep) untuk menunda keputusan meminda perlembagaan yang dituntut oleh para penunjuk perasaan antikerajaan yang mengadakan tunjuk perasaan hampir setiap hari selama lebih dua bulan.

Parlimen, yang dikuasai oleh para penyokong kerajaan, sebaliknya memilih untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji terlebih dahulu proses meminda perlembagaan.

"Undian untuk menerima usul meminda perlembagaan secara tidak langsung menangguhkannya sehingga November," kata anggota parlimen pro-kerajaan Chinnaworn Boonyakiat kepada Reuters.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan para anggota parlimen pembangkang dan penunjuk perasaan, dengan lebih 1,000 orang berhimpun di luar bangunan parlimen untuk menuntut pindaan pada perlembagaan dan menyingkirkan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, seorang mantan pemimpin tentera.

Para penunjuk perasaan berpendapat perlembagaan yang ada sekarang digubal bagi memastikan beliau terus berkuasa selepas pilihan raya tahun lalu. Encik Prayut pula menegaskan bahawa keputusan pilihan raya itu adalah adil.

Wiroj Lakkhanaadisorn, seorang anggota parlimen dari parti pembangkang, berkata keputusan parlimen untuk menangguhkan usul itu adalah muslihat untuk "memperdayakan rakyat."

"Sekiranya proses itu ditangguhkan selama sebulan untuk menubuhkan jawatankuasa ini, dan jika usul itu ditolak, ini bermakna para anggota parlimen tidak dapat membentangkan usul lain lagi sehingga tahun depan," katanya di Twitter.

KERAJAAN 'CUBA MELENGAHKAN PINDAAN'

Penganjur tunjuk perasaan Tattep "Ford" Ruangprapaikitseree berkata kerajaan sedang cuba "membeli masa" melalui tindakan itu.

"Ia menunjukkan sikap tidak ikhlas mereka terhadap rakyat Thai," menurut beliau kepada AFP. "Ini tidak boleh diterima sama sekali."

Bantahan-bantahan itu menjadi cabaran terbesar kepada kerajaan Thailand yang dikuasai tentera dan institusi istana sejak Encik Prayut merampas kuasa pada 2014.

Bantahan terbesar yang diadakan sejauh ini menarik puluhan ribu penunjuk perasaan pada hujung minggu lalu.

Sebilangan penunjuk perasaan berpendapat bahawa perlembagaan tersebut juga memberikan terlalu banyak kuasa kepada Raja Maha Vajiralongkorn dan mengusulkan agar pengaruhnya dikurangkan, sekali gus mencabar tradisi yang mengharamkan sebarang bentuk kritikan terhadap Raja negara itu.

Perlembagaan 2017 dilakar oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh pihak tentera dan ia meluluskan pungutan suara (referendum) pada 2016 yang dibantah oleh parti-parti pembangkang.

Bulan lalu, Facebook memenuhi permintaan kerajaan untuk menggugurkan "Royalist Marketplace", sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh para pengkritik kerajaan yang hidup dalam buangan yang membincangkan peranan Raja dalam masyarakat Thailand dan mempunyai lebih sejuta anggota.

Sungguhpun demikian kira-kira 400 URL masih disenaraikan dalam wadah sosial itu, kata menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Buddhipongse Punnakunta, yang enggan mengulas sama ada para pengkritik dikenal pasti oleh kementeriannya kerana mengkritik raja.

Facebook bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan itu dan Twitter pula belum lagi memberikan responsnya. 

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan