Parlimen M'sia tergantung; Zahid Hamidi sahkan tiada rundingan kerjasama dilakukan, minta tangguh hantar Akuan Bersumpah kepada Agong
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang pengumuman sebelum ini bahawa BN akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan adalah tidak benar.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang pengumuman sebelum ini bahawa BN akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan adalah tidak benar.
"Tiada sebarang rundingan yang dilakukan bersama ahli kepimpinan BN dalam gabungan lain untuk membentuk kerajaan," katanya dalam sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur sebentar pada Isnin (21 Nov).
Encik Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, berkata BN akan mengemukan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun untuk dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat pada petang ini.
"Bersama dengan saya adalah 26 Ahli Parlimen BN yang hadir daripada 30 ahli. Dua ahli demam, Datuk Jalal dari Parlimen Jerlun dan Datuk Adnan, Ahli Parlimen Kuala Pilah.
“Kami telah membuat ketetapan dan arahan parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan arahan tetap yang wajib diikuti oleh setiap ahli kerana kita bertanding atas tiket BN," tambah beliau.
“Selaku Ahli Parlimen yang menandatangan sebarang dokumen terutama Akuan Bersumpah untuk menamakan siapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ia melanggar ketetapan parti serta Akuan Bersumpah yang telah ditandatangani setiap calon BN,” katanya lagi.
Tambah Encik Zahid Hamidi, BN akan memohon tempoh penyerahan surat akuan bersumpah kepada Agong dilanjutkan sebelum membuat pengumuman tentang kerjasama dengan pihak tertentu.
"Maka kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat menganjurkan sedikit waktu itu kepada waktu yang agak lebih fleksibel untuk kami kemukakan SD setelah keputusan dibuat.”
Para pemimpin kanan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, termasuk Pengerusi PH telah mengadakan mesyuarat di Hotel Seri Pacific menjelang pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada 2.00 petang ini.
Kerjasama antara kedua-dua gabungan itu disebut-sebut sebagai suatu kemungkinan sejak Encik Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Harapan sudah meraih sokongan untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Awal dari itu, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Nasional mendakwa beliau sudah meraih sokongan jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurut Encik Muhyiddin, beliau sudahpun menerima akuan berkanun berkenaan yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.