Skip to main content

Dunia

Parlimen M'sia kembali bersidang; cabaran ekonomi, persiapan banjir tumpuan hari pertama

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menangani cabaran ekonomi dan kesiapsiagaan agensi kerajaan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Persidangan kali ini bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, selain usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mesyuarat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang berkaitan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lewat daripada Khamis (6 Okt), sekiranya usul Menteri Kesihatan bagi melanjutkan tarikh pembentangan penyata itu dipersetujui.

Pada 2 Ogos lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang, yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta dipengerusikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ditetapkan perlu membentangkan penyata itu tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Fokus utama persidangan kali ini adalah pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023, yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz pada pukul 4.00 petang Jumaat ini (7 Okt).

Rang undang-undang itu dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari dan akan dijawab oleh menteri selama empat hari sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 Nov.
 
Sumber : Bernama/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita