Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parlimen Mesir sokong tempoh khidmat Presiden al-Sisi dilanjutkan

Parlimen Mesir pada Khamis (14 Feb) memberi kelulusan awal bagi pindaan perlembagaan yang akan membolehkan Presiden Abdel Fattah al-Sisi terus memegang kuasa selepas penggal keduanya berakhir pada 2022.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Mesir sokong tempoh khidmat Presiden al-Sisi dilanjutkan

Presiden Abdel Fattah al-Sisi. (Gambar fail: Amr Abdallah Dalsh/Reuters)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 01:08AM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 01:12AM

KAHERAH: Parlimen Mesir pada Khamis (14 Feb) memberi kelulusan awal bagi pindaan perlembagaan yang akan membolehkan Presiden Abdel Fattah al-Sisi terus memegang kuasa selepas penggal keduanya berakhir pada 2022.

485 daripada 596 Anggota Parlimen (MP) "menyuarakan sokongan secara prinsip terhadap pindaan perlembagaan itu selepas tiga sidang parlimen berturut-turut yang berlangsung selama lebih 10 jam," menurut kenyataan di laman parlimen Mesir.

Tidak dinyatakan berapa ramai MP yang menentang usulan itu. Namun, seorang anggota kumpulan kecil pembangkang mendedahkan bahawa 16 MP menolak usulan tersebut.

Pindaan itu akan diserahkan kepada suruhanjaya perundangan parlimen yang perlu merangka rang undang-undang dan membentangkannya kepada dewan dalam tempoh 60 hari bagi undian terakhir.

Jika lebih 60 peratus menyokong usulan itu, parlimen kemudian akan mengadakan pungutan suara selaras dengan syarat-syarat perlembagaan 2014.

Para penyokong Presiden al-Sisi, seorang mantan ketua tentera yang dilantik semula sebagai Presiden pada Mac 2018 dan mendapat lebih 97 peratus undian, terus mendesak parlimen supaya memansuhkan satu bab dalam perlembagaan yang mengehadkan penggal khidmat Presiden kepada dua penggal sahaja.

Pindaan yang disokong akan melanjutkan penggal presiden dalam pejabat dari empat kepada enam tahun, menurut parlimen Mesir lagi.

Namun, para pengkritik menyifatkan pindaan itu sebagai tidak adil.

"Kita memberi kuasa penuh kepada seseorang... pada saat orang ramai menginginkan kebebasan dan menuntut keadilan sosial," kata seorang MP, Ahmed Tantawi pada Rabu (13 Feb). Beliau merujuk kepada slogan semasa pemberontakan 2011 yang menggulingkan mantan Presiden Hosni Mubarak.

11 pertubuhan bukan pemerintah juga menolak pindaan itu kerana menjangkakan langkah itu akan memberi lebih banyak kuasa kepada tentera "untuk mempertahankan perlembagaan".  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan