Parlimen Korea Selatan lulus Rang Undang-Undang bagi siasat nahas Jeju Air 2024
Pasukan penyelamat di tapak nahas Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan pada 30 Disember 2024. (Gambar: Reuters/Kim Soo-hyeon)
Sebuah panel terdiri daripada 18 anggota parlimen akan menyiasat kemungkinan punca nahas itu, termasuk jikalau terdapat usaha secukupnya bagi mengelak risiko berlaku serangan burung, sebarang kegagalan enjin atau mekanikal, dan tembok pagar yang dirempuh pesawat itu di hujung landasan.
Siasatan itu juga akan menyiasat sama ada agensi-agensi pemerintah cuba menyelindung atau meremehkan hasil penemuan daripada siasatan rasmi, menurut Rang Undang-Undang itu.
Sebuah pesawat Jeju Air Boeing 737-800 terhempas di lapangan terbang Muan tanpa mengeluarkan gear pendaratannya selepas ia membatalkan pendaratan, terbabas dari landasan lalu merempuh sebuah tembok pagar, mengorbankan semua orang kecuali dua daripada 181 orang dalam pesawat itu sebelum ia meletup.
Satu siasatan oleh Lembaga Penyiasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api yang dipimpin pemerintah belum lagi menerbitkan laporan muktamad.
Ia menyatakan daalam satu laporan awal pada Januari lalu bahawa dua enjin pesawat itu mengalami kerosakan akibat terlanggar burung.
Dalam satu kemas kini yang dilihat oleh Reuters pada Julai, lembaga itu mendapati enjin kiri pesawat itu ditutup walaupun ia mengalami kurang kerosakan berbanding enjin kanan dan seharusnya boleh memastikan pesawat itu teruskan dengan penerbangannya.
Tembok dinding di hujung landasan itu yang menyokong peralatan navigasi lapangan terbang didapati tidak selaras dengan piawaian global yang menggesa agar struktur sedemikian dibangunkan supaya ia mudah roboh jika dilanggar, menurut para pakar.
Kebanyakan nahas udara disebabkan oleh pelbagai faktor dan para pakar memberi amaran supaya tidak terlalu memberi tumpuan terhadap bukti yang tidak lengkap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.