Skip to main content

Dunia

Parlimen Indonesia pinda undang-undang benarkan pegawai polis berkhidmat dalam pemerintah

Parlimen Indonesia meluluskan pindaan terhadap undang-undang polis negara itu pada Selasa (9 Jun), membolehkan pegawai polis yang masih berkhidmat untuk menyandang jawatan dalam pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Indonesia pinda undang-undang benarkan pegawai polis berkhidmat dalam pemerintah

Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Bangunan Parlimen untuk menyampaikan ucapan mengenai dasar ekonomi dan pelan kewangan 2027 di Jakarta, Indonesia pada 20 Mei 2026. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)

Diterbitkan : 10 Jun 2026 12:30PM
  • Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang pada 9 Jun yang membenarkan pegawai polis aktif menyandang jawatan dalam institusi negara tanpa perlu meletak jawatan.
  • Pindaan ini menyusuli langkah serupa terhadap tentera dan memperluaskan peranan polis serta tentera dalam urusan awam, termasuk program makanan percuma yang menjadi agenda utama Presiden Prabowo Subianto.
  • Pemecatan dan penahanan Dadan Hindayana serta dua timbalannya berlaku selepas isu rasuah dan keracunan makanan dalam program makanan percuma yang menjejaskan puluhan ribu kanak-kanak.
  • Beberapa pihak, termasuk Amnesty International Indonesia dan Yayasan Bantuan Guaman Indonesia, membantah pindaan ini kerana dikhuatiri menjejaskan profesionalisme polis dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan pindaan terhadap undang-undang polis negara itu pada Selasa (9 Jun), membolehkan pegawai polis yang masih berkhidmat untuk menyandang jawatan dalam pemerintah.

Pindaan itu dibuat setahun selepas parlimen menyemak undang-undang tentera negara tersebut, yang memperuntukkan lebih banyak jawatan awam kepada anggota tentera.

Sejak menyandang jawatan pada 2024, Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah memperluaskan peranan tentera dalam urusan awam, termasuk membantu melaksanakan program makanan percuma dan sara diri yang menjadi antara agenda utamanya, yang turut melibatkan pasukan polis.

Mantan komander pasukan khas itu juga telah melantik beberapa pegawai kanan polis dan tentera ke dalam pentadbirannya.

Pada 2 Jun lalu, Encik Prabowo memecat ketua program makanan percuma bernilai berbilion dolar, yang berdepan tuduhan rasuah, di samping laporan berlaku keracunan makanan secara besar-besaran yang menjejaskan sekurang-kurangnya 33,000 kanak-kanak setakat April. Beliau diberkas pihak berkuasa Indonesia sehari kemudian.

Mantan ketua tersebut ialah Dadan Hindayana, seorang ahli entomologi yang mengetuai Badan Gizi Nasional (BGN) yang menyelia program makanan percuma itu sejak ia diperkenalkan pada Ogos 2024. Encik Dadan dipecat bersama dua timbalannya pada 2 Jun, dan mereka bertiga diberkas di Jakarta pada 3 Jun.

Di bawah undang-undang baharu yang diluluskan sebulat suara dalam sidang pleno parlimen, pegawai polis yang masih aktif tidak perlu meletak jawatan sebelum dilantik untuk menyandang jawatan dalam institusi negara atau kementerian lain di luar Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), termasuk jawatan awam, selagi jawatan tersebut terkait dengan tugas dan fungsi polis, menurut salinan rang undang-undang yang dilihat oleh Reuters.

Jawatan-jawatan tersebut merangkumi bidang keselamatan dan ketenteraman awam, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan, penjagaan dan perkhidmatan masyarakat dalam kementerian atau agensi negara.

Pegawai polis yang masih aktif juga boleh menyandang jawatan di luar pertubuhan mereka atas permintaan Presiden, kementerian atau agensi negara, selagi kepakaran mereka diperlukan, menurut rang undang-undang itu.

Sarifuddin Sudding, anggota jawatankuasa parlimen yang terlibat dalam perbahasan rang undang-undang tersebut, berkata kepada Reuters bahawa pegawai polis tidak perlu meletak jawatan kerana kepakaran mereka diperlukan oleh pentadbiran negara.

“Rangka kerja undang-undang yang lebih responsif dan dapat disesuaikan amat diperlukan bagi memastikan Polri dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan,” menurut Menteri Undang-Undang Supratman Andi Agtas semasa sidang pleno tersebut.

Pindaan itu juga melanjutkan usia persaraan wajib pegawai polis, termasuk ketua polis negara, selama setahun.

“Pemerintah dilihat mengulangi pendekatan yang sama seperti yang dilakukan menerusi Undang-Undang Tentera,” kata Haeril Halim daripada Amnesty International Indonesia sambil menambah bahawa ia merupakan suatu “petanda autoritarianisme apabila pasukan pertahanan dan keselamatan digunakan untuk menyokong pihak berkuasa”.

Undang-undang tersebut juga bercanggah dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan tahun lalu yang mewajibkan pegawai polis meletak jawatan sekiranya mereka menyandang jawatan di luar pasukan tersebut.

Menempatkan pegawai polis yang masih aktif dalam kementerian dan agensi negara adalah sesuatu yang tidak berperlembagaan dan boleh menjejaskan profesionalisme pasukan polis, selain mengganggu laluan kerjaya serta sistem merit bagi pegawai awam, kata Muhammad Isnur daripada Yayasan Bantuan Guaman Indonesia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita