Skip to main content

Dunia

Parlimen Greenland lulus perjanjian keselamatan dengan Trump, buka laluan bagi 2 pangkalan tentera Amerika

Parlimen Greenland pada Selasa (3 Nov) meluluskan perjanjian keselamatan yang dicapai dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, meskipun beberapa anggota pembangkang mempersoalkan manfaat ekonomi perjanjian tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Greenland lulus perjanjian keselamatan dengan Trump, buka laluan bagi 2 pangkalan tentera Amerika

Deretan rumah berlatarbelakangkan Gunung Sermitsiaq di Nuuk, Greenland. (Gambar fail: REUTERS/Tim Barsoe)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 10:51AM
Greenland Parliament approves security agreement with Trump, paving the way for two US army bases
  • Greenland’s Parliament approved a security agreement signed by the United States, Denmark and Greenland in September, with 16 votes in favour, none against and seven abstentions.
  • The agreement is intended to ease tensions after Donald Trump threatened to take over Greenland, a mineral-rich and strategically important autonomous Danish territory in the Arctic.
  • It expands the US military presence through two new bases and a proposed Golden Dome system, while affirming Denmark’s sovereignty and the right of Greenlanders to determine their future.
  • Minister Mute Egede described it as an important step, but Naleraq and its chairman, Pele Broberg, questioned the economic returns. Denmark will hold readings of the Bill on Nov 11 and 19 before the agreement takes effect after ratification by both sides.
Dijana oleh AI

COPENHAGEN: Parlimen Greenland pada Selasa (3 Nov) meluluskan perjanjian keselamatan yang dicapai dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, meskipun beberapa anggota pembangkang mempersoalkan manfaat ekonomi perjanjian tersebut.

Perjanjian yang ditandatangani Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland pada September lalu itu bertujuan meredakan ketegangan selepas Encik Trump berulang kali mengancam untuk mengambil alih Greenland.

Pulau yang kaya dengan sumber mineral dan terletak di kawasan strategik Artik itu merupakan wilayah autonomi di bawah kedaulatan Denmark.

Perjanjian tersebut memperluas peranan ketenteraan Amerika Syarikat di Greenland, sekali gus membuka laluan bagi pembinaan 2 pangkalan tentera baharu serta penempatan sistem pertahanan peluru berpandu 'Golden Dome' yang dicadangkan Encik Trump.

Pada masa yang sama, perjanjian itu menegaskan semula kedaulatan Denmark ke atas Greenland dan hak penduduk pulau tersebut untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Dalam pengundian pada Selasa (3 Nov), seramai 16 anggota Parlimen menyokong perjanjian itu, tanpa sebarang undi menentang, manakala 7 anggota berkecuali.

Majoriti anggota Parlimen sebelum ini sudah menyatakan sokongan terhadap perjanjian tersebut semasa perbahasan pertama bulan lalu.

KEBIMBANGAN TERHADAP ANCAMAN TRUMP

Pada Januari lalu, Rumah Putih menyatakan Encik Trump sedang mempertimbangkan beberapa pilihan untuk memperoleh Greenland, termasuk kemungkinan menggunakan kekuatan tentera Amerika Syarikat.

Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerintah Eropah dan mendorong usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan.

Menteri Ehwal Luar Greenland, Mute Egede, berkata kelulusan perjanjian tersebut merupakan langkah penting bagi wilayah itu.

Ketika berucap kepada anggota Parlimen di Nuuk sebelum pengundian, beliau menegaskan keamanan dan kestabilan tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin.

PEMBANGKANG PERSOAL MANFAAT EKONOMI

Bagaimanapun, parti pembangkang Naleraq, yang lantang memperjuangkan kemerdekaan Greenland, mempersoalkan manfaat ekonomi yang bakal diperoleh menerusi perjanjian tersebut.

Pengerusi Naleraq, Pele Broberg, berkata Greenland sepatutnya mendapatkan perjanjian yang lebih baik supaya rakyatnya dapat menikmati manfaat apabila wilayah itu mencapai kemerdekaan kelak.

Beliau mendakwa perjanjian sedia ada tidak memberikan sebarang manfaat ekonomi kepada Greenland.

Sementara itu, Parlimen Denmark dijadual mengadakan bacaan pertama rang undang-undang berkaitan perjanjian tersebut pada 11 November.

Bacaan kedua dan pengundian pula dijadual berlangsung pada 19 November.

Perjanjian itu hanya akan berkuat kuasa selepas proses pengesahan selesai di Denmark dan Greenland.

Ia tidak memerlukan kelulusan Senat Amerika Syarikat.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita