Parlimen Britain sekali lagi tolak usulan Brexit Theresa May
Perdana Menteri Britain Theresa May sekali berdepan kekalahan teruk di Parlimen pada Selasa (12 Mac) selepas usulan perjanjian Brexit pindaannya ditolak oleh Dewan Rakyat, apabila 391 anggota parlimen mengundi untuk menentang berbanding 242 yang menyokong usulannya.
Perdana Menteri Britain, Theresa May. (Gambar fail: Daniel Leal-Olivas/AFP)
LONDON: Perdana Menteri Britain Theresa May sekali berdepan kekalahan teruk di Parlimen pada Selasa (12 Mac) selepas usulan perjanjian Brexit pindaannya ditolak oleh Dewan Rakyat, apabila 391 anggota parlimen mengundi untuk menentang berbanding 242 yang menyokong usulannya.
Kesal dengan keputusan itu, yang menyaksikan anggota partinya sendiri mengundi untuk menentang usulan tersebut, Cik May berkata beliau yakin perjanjian pindaan yang diusulkan adalah yang terbaik dan satu-satunya pilihan yang ada.
"Saya masih yakin bahawa keputusan terbaik setakat ini adalah Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) secara teratur dengan satu perjanjian," katanya selepas proses pengundian tersebut.
Pengundian penting itu menimbulkan lebih banyak ketidakpastian tentang bagaimana negara tersebut akan meninggalkan EU.
Cik May bagaimanapun mengulangi komitmennya untuk meneliti langkah-langkah yang perlu diambil sebelum Brexit - jika ada atau sebaliknya.
"Dua minggu lalu, saya membuat beberapa komitmen berhubung langkah-langkah yang akan kita ambil sekiranya Dewan ini menolak usul yang dibentangkan. Saya berpegang teguh kepada komitmen itu sepenuhnya," katanya.
"Oleh itu, malam ini, kita akan membentangkan satu usulan untuk perdebatan esok bagi menguji sama ada Dewan ini menyokong langkah meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian pada 29 Mac.
"Ini adalah satu isu yang amat penting untuk masa depan negara kita. Sama seperti referendum, terdapat pandangan yang tegas dan sah di sisi undang-undang daripada kedua-dua pihak. Atas sebab itu, saya boleh mengesahkan bahawa ia akan menjadi satu undian bebas di Dewan ini."
Cik May mengesahkan bahawa usulan itu akan menyatakan: "Bahawa Dewan ini menolak untuk meluluskan langkah meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang Perjanjian Keluar dan Rangka Kerja mengenai Hubungan Masa Depan pada 29 Mac 2019; dan sila ambil maklum bahawa keluar tanpa sebarang perjanjian kekal sebagai kemungkiran dalam undang-undang Britain dan EU, melainkan Dewan ini dan EU mengesahkan satu perjanjian.”
Jika undi untuk keluar tanpa sebarang perjanjian juga gagal, undian ketiga akan diadakan pada Khamis (13 Mac) bagi menentukan sama ada Britain akan meminta lanjutan masa bagi meninggalkan EU.
"EU sudah tentu ingin tahu apa tujuan kita meminta lanjutan masa," kata Cik May.
"Dewan ini perlu menjawab soalan itu. Adakah ia ingin membatalkan Perkara 50? Adakah ia ingin mengadakan referendum kedua? Atau adalah ia ingin keluar dengan satu perjanjian tapi bukan perjanjian ini?"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.