Para penduduk Christchurch lindungi jemaah di masjid Al Noor semasa mereka bersolat
Para jemaah yang mengerjakan solat di salah sebuah masjid yang diserang seorang pengganas minggu lepas, dilindungi oleh para penduduk tempatan selepas satu upacara Haka beramai-ramai dilakukan pada Rabu (20 Mac).

Para jemaah yang sedang mengerjakan solat. (Gambar: Vincent Thian/AFP)
CHRISTCHURCH: Para jemaah yang mengerjakan solat di salah sebuah masjid yang diserang seorang pengganas minggu lepas, dilindungi oleh para penduduk tempatan selepas satu upacara Haka beramai-ramai dilakukan pada Rabu (20 Mac).
Sejak peristiwa berdarah itu, sebilangan jemaah masih terus menjalankan ibadah di masjid Al Noor, masjid pertama yang diserang penyerang itu, meragut 50 nyawa.
Namun demikian, mereka dilindungi pada Rabu oleh berpuluh-puluh penduduk tempatan yang berdiri bergandingan tangan di belakang mereka ketika mereka mengerjakan solat.
"Hati saya berdebar-debar, ini sesuatu yang sukar dipercayai, saya tidak dapat menjelaskannya," kata Encik Omar, 32 tahun, seorang pengunjung dari Sydney, Australia.
"Melihat komuniti yang begitu rapat, ia menakjubkan," katanya.
Nuha Asad, yang kehilangan suaminya, Ali Elmadani, dalam serangan itu berasa terharu dengan sokongan yang ditampilkan oleh para penduduk Christchurch itu.
"Masyarakat New Zealand benar-benar mengambil berat tentang kami dan kami benar-benar bersama dalam hal ini."
"Ini membuatkan kami berasa sedikit kegembiraan dalam kesedihan," tambahnya lagi.
Upacara Haka secara beramai-ramai yang dilakukan sebelumnya itu adalah antara yang terbesar yang pernah diadakan di New Zealand.
Upacara itu diketuai oleh sekumpulan penunggang motorsikal di mana ramai di antara mereka memaparkan lencana-lencana pelbagai kelab motor yang mereka anggotai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.