Para pemimpin Democrat desak Presiden Trump dilucutkan
Susulan daripada tindakan ganas para penyokongnya di bangunan Kongres pada Khamis (7 Jan) Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus dibidas hebat oleh banyak pihak termasuk sekutu-sekutunya.
WASHINGTON: Susulan daripada tindakan ganas para penyokongnya di bangunan Kongres pada Khamis (7 Jan) Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus dibidas hebat oleh banyak pihak termasuk sekutu-sekutunya.
Bahkan pemimpin-pemimpin Kongres dari parti Democrat mendesak agar kuasa Presiden Trump dilucutkan walaupun hanya tinggal 13 hari beliau berkuasa.
Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Cik Nancy Pelosi turut ingin menyingkirkan Presiden Trump dengan segera menggunakan Pindaan 25 (Perlembagaan Negara).
"Dengan melakukan tindakan menghasut ini Presiden melakukan serangan dahsyat terhadap negara dan rakyat kita. Saya menyertai pemimpin Democrat dalam Dewan Senat meminta Naib Presiden untuk menyingkirkan Presiden ini dengan segera menggunakan Pindaan 25 (Perlembagaan Negara).
"Sekiranya Naib Presiden dan kabinet tidak melakukannya Kongres mungkin melakukan proses pendakwaan salah laku terhadap Presiden," menurut Cik Nancy Pelosi.
Bagaimanapun Naib Presiden Mike Pence dilaporkan enggan menggunakan peruntukan Pindaan 25. Menurut akhbar New York Times pendirian Encik Pence itu mendapat sokongan beberapa anggota kabinet.
Mereka berpendapat langkah melucutkan kuasa Presiden Trump akan memburukkan lagi keadaan tidak menentu di Washington sekarang.
Pindaan 25, yang diluluskan dalam tahun 1967, menggariskan peruntukan bagi pemindahan kuasa dari seorang Presiden sekiranya meninggal dunia, meletak jawatan, disingkirkan daripada jawatannya atau sebab-sebab lain yang menyebabkan Presiden tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.