Papagomo direman 3 hari bantu siasatan kes Syed Saddiq
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, direman tiga hari sehingga Rabu (20 Feb) bagi membantu siasatan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Kajang pada Sabtu (16 Feb).
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, direman tiga hari sehingga Rabu (20 Feb) bagi membantu siasatan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Kajang pada Sabtu (16 Feb).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd Sabri Abdullah, berkata pemohonan reman terhadap Papagomo dibuat di Mahkamah Majistret Kajang pada pagi Isnin (18 Feb).
“Selain Papagomo, terdapat seorang lagi individu berusia 39 tahun ditahan namun dibebaskan setelah diambil keterangan dengan jaminan polis.
“Dia (Papagomo) kini disiasat di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Isnin (18 Feb).
Pada Ahad (17 Feb), agensi berita Bernama melaporkan bahawa Papagomo, 36 tahun, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam insiden pada pukul 10.45 pagi Sabtu (16 Feb), anggota Parlimen Muar itu mendakwa bahawa beliau diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
Video insiden provokasi selama 22 saat itu turut tular dalam media sosial yang menunjukkan Encik Syed Saddiq yang dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, 13 aduan polis dibuat sejak hari penamaan calon hingga Isnin (18 Feb) berhubung PRK berkenaan.
Daripada 13 aduan itu, tiga kertas siasatan dibuka dengan dua daripadanya membabitkan insiden serangan terhadap Encik Syed Saddiq, manakala satu lagi aduan berkaitan kegiatan ceramah tanpa permit di tapak pasar malam di Taman Pelangi, Semenyih, pada Ahad (17 Feb).
“Polis juga meluluskan 10 permit bagi aktiviti ceramah dan calon bertanding diminta memohon permit bagi mengadakan ceramah atau aktiviti politik sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.