Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pantai timur Australia terus dicengkam penularan varian Delta

Ketiga-tiga wilayah Australia dengan jumlah penduduk paling ramai - New South Wales (NSW), Victoria dan Queensland - melaporkan 282 kes baru COVID-19 secara keseluruhannya pada Ahad (8 Ogos), sedang pihak berkuasa bergelut membendung penularan varian Delta.

Anggaran Waktu Membaca:
Pantai timur Australia terus dicengkam penularan varian Delta

Seorang wanita berjalan di Melbourne di Australia pada 16 Julai. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 08 Aug 2021 03:49PM Dikemas Kini : 08 Aug 2021 03:51PM

MELBOURNE: Ketiga-tiga wilayah Australia dengan jumlah penduduk paling ramai - New South Wales (NSW), Victoria dan Queensland - melaporkan 282 kes baru COVID-19 secara keseluruhannya pada Ahad (8 Ogos), sedang pihak berkuasa bergelut membendung penularan varian Delta.

NSW melaporkan 262 kes baru, lebih rendah berbanding 319 kes pada Sabtu, sedang lebih 5 juta penduduk di daerah tepi pantai Sydney sudah enam minggu menjalani tempoh sekatan pergerakan yang ketat.

"Saya menggesa orang ramai supaya tolong mematuhi peraturan, nasihat kesihatan dan hanya keluar rumah jika benar-benar perlu," kata Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian.

Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 80-an tahun meninggal dunia pada malam sebelumnya, membawa jumlah kematian secara keseluruhan sejak penularan terbaru itu melanda kepada sebanyak 28 kes.

Terdapat 362 pesakit di hospital NSW, dengan 58 dirawat di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan pesakit di ICU, 54 belum mendapatkan suntikan vaksin.

Jiran NSW, Victoria pula melaporkan 11 kes tempatan koronavirus sedang ia terus menjalani tempoh sekatan pergerakan selama tujuh hari yang mula dikuatkuasakan pada awal minggu ini.

Queensland pula mencatat sembilan kes baru dengan beberapa kawasan di wilayah itu baru saja tamat menjalani sekatan pergerakan pada Ahad, tetapi sekatan pergerakan baru selama tiga hari kembali dilaksanakan di bandar Cairns selepas satu kes yang belum diketahui punca jangkitannya dilaporkan.

Dengan varian Delta yang amat mudah berjangkit membelenggu bahagian pantai timur Australia, wilayah-wilayah di bahagian tersebut terpaksa menguatkuasakan sekatan pergerakan yang lebih ketat dan pantas seperti yang disarankan oleh kerajaan persekutuan minggu lalu sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus penduduknya divaksin.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan