Skip to main content

Dunia

Panglima Tentera Darat Malaysia dipaksa bercuti sehingga siasatan rasuah selesai

Anggaran Waktu Membaca:
Panglima Tentera Darat Malaysia dipaksa bercuti sehingga siasatan rasuah selesai
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. (Gambar: Agensi Berita)
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan pada Sabtu (27 Dis) memaklumkan langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilapor membabitkan pegawai berkenaan, seperti dilapor BH Online.

"Bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.

"Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan," katanya seperti dinukil BH Online.

Kenyataan itu tidak memperincikan kes membabitkan Muhammad Hafizuddeain, namun ia dipercayai susulan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiatkan siasatan terhadap perolehan tentera.

Terdahulu pada 23 Disember lalu, laporan media memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, seperti dilapor BH Online.

Difahamkan, siasatan awal SPRM tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Sumber : Agensi berita//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita