Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pangkalan baru tentera dengan AS "ditempatkan" merata Filipina, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr

Anggaran Waktu Membaca:
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata pada Rabu (22 Mac) bahawa empat pangkalan baru tentera di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan (EDCA) bersama Amerika Syarikat (AS), akan ditempatkan di beberapa bahagian Filipina termasuk di wilayah berhadapan Laut Cina Selatan.

Bulan lalu, Encik Marcos membenarkan AS akses kepada empat lokasi. Ini merupakan tambahan kepada lima lokasi sedia ada di bawah EDCA 2014.

Ia berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Laut Cina Selatan dan terhadap Taiwan.

"Terdapat empat lokasi tambahan yang akan ditempatkan di seluruh Filipina, sebahagian daripadanya di utara, sebahagian di sekitar Palawan, sebahagian lagi di selatan," Encik Marcos memberitahu wartawan di luar acara ulang tahun penubuhan tentera Filipina.

EDCA memberi AS akses kepada pangkalan-pangkalan tentera Filipina bagi latihan bersama, penempatan peralatan dan pembinaan kemudahan seperti landasan, tempat menyimpan minyak dan perumahan tentera, namun ia bukan kehadiran yang tetap.

Filipina dan Amerika Syarikat akan mengumumkan lokasi-lokasi pangkalan tentera itu tidak lama lagi, ia menambah bahawa tempat-tampat tersebut akan meningkatkan keupayaan negara itu untuk mempertahankan "bahagian timur" pulau terbesarnya, Luzon. Luzon ialah pulau utama Filipina paling dekat dengan Taiwan.

Seorang bekas ketua tentera Filipina berkata secara terbuka bahawa Amerika Syarikat sudah meminta akses kepada pangkalan tentera di Isabela, Zambales dan Cagayan, kesemuanya di pulau Luzon yang menghadap Taiwan. Serta pangkalan di Palawan yang terletak di barat daya, berhampiran dengan Pulau Spratly yang dipertikaikan di Laut Cina Selatan.

Beberapa pemimpin dari pemerintah tempatan di tapak EDCA yang akan dibina menentang keputusan Encik Marcos. Mereka bimbang akan diheret ke dalam konflik jika berlakunya sebarang kejadian antara Amerika Syarikat dengan China terhadap Taiwan.

Tetapi Encik Marcos berkata bahawa pemerintahannya sudah berbincang bersama mereka tentang pentingnya akses yang diperluaskan bagi AS dan "kenapa ia akan menjadi keputusan yang baik kepada wilayah mereka."


Bercakap di hadapan para tentera, Encik Marcos memberitahu mereka supaya berjaga-jaga memandangkan ancaman luar kepada keselamatan negaranya sedang menjadi lebih "rumit" dan "tidak dapat dijangkakan".




 
Sumber : Reuters/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan