Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Panggilan telefon sejam antara Xi Jinping, Zelenskyy galak rundingan damai Ukraine-Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Panggilan telefon sejam antara Xi Jinping, Zelenskyy galak rundingan damai Ukraine-Rusia

Presiden China Xi Jinping dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berbincang menerusi panggilan telefon pada 26 April 2023. (Gambar fail: AFP/Genya Savilov, Ludovic Marin)

BEIJING: Presiden China Xi Jinping berbincang dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menerusi panggilan telefon pada Rabu (26 Apr), dengan panggilan telefon itu merupakan yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Rusia mencerobohi Ukraine.

Sepanjang perbincangan yang dinanti-nantikan itu, Encik Xi menggesa Rusia dan Ukraine supaya mengadakan rundingan.

Menurut stesen penyiaran China, CCTV, Encik Xi memberitahu Encik Zelenskyy bahawa "rundingan" adalah "satu-satunya jalan keluar" bagi perang tersebut.

"Berhubung isu mengenai krisis Ukraine, China selama ini berdiri teguh pada pihak yang menegakkan keamanan dan pendiriannya adalah untuk menggalak rundingan damai," kata Encik Xi, seperti dilaporkan oleh CCTV.

Beliau memberitahu Encik Zelenskyy bahawa China akan menghantar sebuah delegasi ke Ukraine untuk mengadakan rundingan bagi menghuraikan konflik dengan Rusia.

"China akan menghantar utusan khas pemerintah China berhubung ehwal Eropah-Asia untuk melakukan lawatan ke Ukraine dan negara-negara lain bagi mengadakan rundingan yang mendalam dengan semua pihak untuk mencari jalan keluar kepada krisis di Ukraine," tekan Kementerian Luar China dalam satu sidang media.

Sebelum ini, Encik Xi menarik perhatian pada awal April bahawa beliau bersedia untuk berbincang dengan Encik Zelenskyy, dengan pemimpin Ukraine itu juga terbuka untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari China itu.

"Saya mengadakan perbincangan yang panjang dan bermakna dengan Presiden Xi Jinping melalui panggilan telefon," kongsi Encik Zelenskyy dalam catatannya di Twitter pada Rabu.

Menurut ciapan itu, beliau yakin bahawa panggilan tersebut serta pelantikan duta Ukraine ke China akan menjadi dorongan yang kuat untuk membina hubungan dua hala yang kukuh.

Sementara itu, jurucakap Encik Zelenskyy, Sergiy Nykyforov mendedahkan di Facebook bahawa kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon selama hampir sejam.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan