Skip to main content

Dunia

Panggilan telefon penjalin hubungan kasih pasangan Rohingya di dua negara

Julekha Begum diberitahu kumpulan pemerdagangan manusia bahawa dalam masa kurang seminggu sahaja dia akan diseludup masuk ke Malaysia untuk bertemu suaminya yang tidak dikenali.

Anggaran Waktu Membaca:

KUTUPALONG: Julekha Begum diberitahu kumpulan pemerdagangan manusia bahawa dalam masa kurang seminggu sahaja dia akan diseludup masuk ke Malaysia untuk bertemu suaminya yang tidak dikenali.

Sebaliknya, dia terkandas di laut selama dua bulan dalam sebuah bot nelayan bersama 500 yang lain. Semasa tempoh itu, Julekha berkata bahawa penyeludup tersebut memukul saudara perempuannya hingga mati dan membuang sejumlah mayat ke laut.

Dia pula akhirnya terpaksa kembali ke kem pelarian di Bangladesh bersama sejuta lagi anggota masyarakat Rohingya tanpa kerakyatan.

Aplikasi panggilan video yang mereka gunakan untuk menikah pada 2017 menjadi satu-satunya alat perhubungan antara Julekha dan suaminya, Abdu Hamid, yang tinggal di pulau Langkawi Malaysia, tempat pendaratan biasa bagi bot pelarian Rohingya.

"Saya tidak sabar menantikan saat dapat bertemu dengan suami saya," kata Julekha kepada AFP sambil menangis.

"Kami sudah tiga tahun berkahwin tetapi tidak pernah sekalipun bersentuhan."

Julekha, ibu dan saudara perempuannya adalah antara ratusan ribu orang Rohingya yang kebanyakannya melarikan diri dari Myanmar ke negara jiran Bangladesh pada 2017 untuk melepaskan diri dari tindakan keras tentera.

Julekha bernikah dengan Hamid tidak lama kemudian melalui imo, aplikasi panggilan video yang popular di Bangladesh.

Julekha dan Hamid saling mengenali dari kecil lagi dan seperti kebiasaan dalam masyarakat Rohingya, perkahwinan mereka diatur ibu bapa mereka.

Setelah dua tahun berhubungan melalui panggilan video, Hamid berjaya mengatur agar Julekha dan saudara perempuannya dapat menaiki bot meninggalkan Bangladesh.

Ribuan orang Rohingya cuba melakukan perjalanan berbahaya setiap tahun, bergantung sepenuhnya pada belas ihsan penyeludup yang zalim dan pihak berkuasa rasuah di pelbagai negara.

Perjalanan yang dilalui Julekha pada Februari bertukar menjadi tragedi apabila puluhan orang mati, termasuk saudara Julekha kerana kekurangan bekalan makanan dan kapal tidak dapat mendarat, menurutnya dan beberapa penumpang lain yang ditemui AFP sebagai sebahagian daripada siasatan berbulan lamanya ke atas rangkaian pemerdagangan manusia.

"Kami kebuluran, ramai yang mati dan mayat mereka itu dibuang ke dalam laut," kata Julekha, ketika menceritakan kisah ngeri kematian saudara perempuannya.

"Penyeludup itu membelasahnya tanpa belas kasihan dengan tali pinggang kulit. Saya tidak dapat melakukan apa-apa kecuali menangis dan mengutuknya."

MIMPI NGERI DI PULAU PERANGINAN

Masyarakat Rohingya berbondong-bondong ke Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya, menggunakan jalan laut dan darat, melarikan diri dari Myanmar di mana mereka diusir keluar dari rumah mereka dan melihat kampung halaman dibakar.

PBB menyatakan tindakan keras tentera Myanmar terhadap Rohingya setara dengan pembunuhan beramai-ramai.

Hamid berjaya melarikan diri dari Myanmar kira-kira tujuh tahun lalu, dengan menaiki kapal ke Thailand dan kemudian berjalan kaki ke Malaysia.

Beliau pada awalnya bekerja di sebuah tapak binaan sebelum mendapat kerja di sebuah hotel di Langkawi.

Setiap hari, tanpa putus, Hamid memikirkan tentang nasib isterinya.

"Kadang-kala ketika saya tidur nyenyak, saya terbayang isteri saya berada di sisi saya, saya dapat merasakan kehangatannya," kata Hamid kepada AFP.

AFP menggunakan nama samaran untuk melindungi identitinya, kerana masyarakat Rohingya di Malaysia semakin menghadapi sentimen permusuhan di tengah pandemik COVID-19.

Meskipun terpisah, perkahwinan mereka sekurang-kurangnya meringankan beban kewangan bagi keluarga Julekha kerana Hamid biasanya mengirim antara RM200 hingga RM400 (S$65.60 hingga S$131.20) sebulan.

"Impian saya ialah untuk membawa isteri saya ke Malaysia," kata Hamid.

Di Bangladesh, Julekha menyuarakan sentimen serupa: "Saya harus berada bersamanya suatu hari nanti."

Satu-satunya pilihan bagi Julekha untuk ke Malaysia adalah menerusi jalan darat yang begitu jauh atau mendapatkan pasport palsu Bangladesh untuk terbang ke sana - yang sangat mahal.

"Saya terlalu trauma untuk menaiki bot lagi," kata Julekha selepas pengalaman ngerinya di laut.

Sumber : AFP/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita