Skip to main content

Dunia

Panel kesihatan Jepun lulus pil Merck rawat COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Panel kesihatan Jepun lulus pil Merck rawat COVID-19

Kapsul pil antivirus molnupiravir keluaran Merck & Co. (Gambar fail: AFP/agihan Merck & Co)

TOKYO: Sebuah panel kementerian kesihatan Jepun pada Jumaat (24 Dis) mengesyorkan pil anti-virus COVID-19 keluaran Merck & Co, diluluskan sebagai sebahagian daripada rancangan Perdana Menteri Fumio Kishida untuk melancarkan rawatan baru menjelang akhir tahun sedang kebimbangan tentang varian Omicron semakin meningkat.

Berdasarkan persiapan yang diumumkan sebelum ini oleh PM Kishida, penghantaran pertama 200,000 dos ke seluruh negara bermula hujung minggu ini.

Jepun menaruh harapan tinggi pada rawatan tersebut untuk mengelakkan jangkitan serius dan kematian sekiranya gelombang keenam pandemik itu melanda. Kerajaan bersetuju bulan lalu untuk membayar Merck dan rakan niaganya Ridgeback Biotherapeutics kira-kira AS$1.2 bilion (S$1.63 bilion) bagi 1.6 juta ubat molnupiravir.

Selain itu, PM Kishida mengumumkan minggu lalu perjanjian untuk mendapatkan 2 juta dos pil anti-virus berasingan yang dibangunkan Pfizer. Syarikat Jepun, Shionogi & Co pula dijangka memfailkan permohonan kelulusan bagi rawatannya sendiri, tidak lama lagi untuk membekalkan 1 juta dos lagi pada awal tahun depan.

Pengawal selia AS pada Khamis meluluskan pil Merck bagi golongan dewasa berisiko tinggi.

Merck dikenali sebagai MSD di luar Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara-negara bergegas untuk membeli pil molnupiravir keluaran Merck selepas hasil kajian awal yang sangat menggalakkan. Bagaimanapun data berikutnya oleh syarikat itu pada lewat November menunjukkan ubat itu nyata kurang berkesan daripada yang dijangkakan sebelum ini. Perancis membatalkan tempahannya pada Rabu.

Jepun minggu ini mengesahkan kes pertama jangkitan varian Omicron yang tidak dapat dikesan kepada pelawat dari luar negara. Jangkitan varian itu dalam masyarakat kini ditemui di bandar Osaka dan Kyoto, dan satu kes yang disyaki diumumkan di Tokyo pada Jumaat.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita