Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pandemik COVID-19 jejas teruk kadar pengambilan vaksin rutin kanak-kanak dalam 1 generasi

Anggaran Waktu Membaca:
Pandemik COVID-19 jejas teruk kadar pengambilan vaksin rutin kanak-kanak dalam 1 generasi

(Gambar hiasan: Scott Olson/Getty Images/AFP)

LONDON: Kira-kira 25 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapatkan suntikan vaksinasi rutin yang melindungi mereka daripada penyakit-penyakit yang mengancam nyawa tahun lalu akibat kesan pandemik yang mengganggu sistem jagaan kesihatan di seluruh dunia.

Jumlah tersebut adalah dua juta lebih banyak berbanding 2020 apabila pandemik COVID-19 menyebabkan sekatan pergerakan di seluruh dunia.

Jumlah itu juga enam juta lebih banyak berbanding sebelum pandemik pada 2019, menurut angka baru yang dikeluarkan oleh Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Unicef menyifatkan kemerosotan perlindungan vaksinasi itu sebagai kemunduran terbesar yang berterusan berhubung vaksinasi kanak-kanak dalam satu generasi.

Ia membawa kadar perlindungan vaksinasi kembali ke paras yang belum pernah dilihat sejak awal tahun 2000-an.

Ramai yang berharap bahawa pada 2021, keadaan akan semakin pulih setahun selepas pandemik. Namun keadaan menjadi lebih teruk.

Agensi itu menyatakan bahawa tumpuan kepada kempen imunisasi COVID-19 pada 2021, kelembapan ekonomi dan tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan menjejas vaksinasi rutin.

Perlindungan vaksinasi merosot di setiap wilayah, munurut angka yang dianggarkan menggunakan data mengenai pengambilan suntikan dipteria, tetanus dan pertussis (DTP3).

Angka itu termasuk kanak-kanak yang tidak menerima suntikan vaksin sama sekali dan mereka yang terlepas salah satu daripada tiga dos yang diperlukan untuk perlindungan.

Di peringkat global, perlindungan vaksin turun lima peratus kepada 81 peratus tahun lalu.

Jumlah kanak-kanak yang tidak menerima suntikan vaksinasi sama sekali naik 37 peratus antara 2019 dengan 2021, daripada 13 kepada 18 juta kanak-kanak, yang sebahagian besarnya datang dari negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan, menurut data.

Pada 2021, 24.7 juta kanak-kanak terlepas dos pertama vaksin campak dan 14.7 juta yang lain tidak mendapat dos kedua vaksin tersebut, data menunjukkan.

Angka-angka tersebut diperolehi daripada data sistem kesihatan negara di 177 negara.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan