Skip to main content

Dunia

Pandemik COVID-19 burukkan lagi keganasan terhadap wanita

Dari lonjakan kes wanita diperkosa di Nigeria dan Afrika Selatan hingga meningkatnya jumlah wanita yang dilaporkan hilang di Peru, serta kadar lebih tinggi wanita yang dibunuh di Brazil dan Mexico, pandemik wabak COVID-19 jelas memburukkan lagi ancaman keganasan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Pandemik COVID-19 burukkan lagi keganasan terhadap wanita

Para aktivis menulis nama-nama wanita yang dibunuh lelaki di bangunan-bangunan di Paris, Perancis (Gambar: AFP/Christophe Archambault)

Diterbitkan : 23 Nov 2020 11:46PM Dikemas Kini : 23 Nov 2020 11:58PM

PARIS: Tiada negara yang terlepas daripada pandemik COVID-19 mahupun ancaman keganasan rumah tangga, yang melonjak selama perintah berkurung dilaksanakan.

Dari lonjakan kes wanita diperkosa di Nigeria dan Afrika Selatan hingga meningkatnya jumlah wanita yang dilaporkan hilang di Peru, serta kadar lebih tinggi wanita yang dibunuh di Brazil dan Mexico, pandemik wabak COVID-19 jelas memburukkan lagi ancaman keganasan seksual.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perintah berkurung menyebabkan peningkatan aduan atau panggilan untuk melaporkan penderaan rumah tangga sebanyak 25 peratus di Argentina, 30 peratus di Cyprus dan Perancis, dan 33 peratus di Singapura.

Di hampir semua negara, langkah-langkah untuk membendung penularan virus korona telah menyebabkan wanita dan anak-anak terkurung di rumah.

"Rumah menjadi tempat paling berbahaya bagi wanita," kata persatuan Maghribi pada April sambil mendesak pihak berkuasa untuk mengambil "tindak balas kecemasan".

Di Mumbai, India, Heena, seorang tukang masak 33 tahun berkata beliau merasa "terperangkap di rumah sendiri" dengan suami yang menganggur, mengambil dadah dan berkelakuan ganas.

LANGKAH TIDAK MENCUKUPI

Pada 15 Ogos, suami Heena membantainya di hadapan anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun, dan menghalaunya dari rumah pada 3 pagi.

"Saya tidak punya tempat untuk pergi," katanya. "Saya hampir tidak dapat menggerakkan badan saya - dia memukul saya hingga terkulai, badan saya bengkak-bengkak."

Beliau kini sedang cuba mendapatkan hak penjagaan anaknya, "tapi mahkamah tidak berfungsi sepenuhnya kerana COVID".

Bukan hanya mahkamah yang terjejas akibat COVID-19. Penutupan perniagaan dan sekolah, serta kegiatan kebudayaan dan sukan, menyukarkan mangsa yang sememangnya dibelenggu masalah ekonomi untuk melepaskan diri dari keganasan.

Hanaa Edwar dari Rangkaian Wanita Iraq memberitahu AFP berlaku "kemerosotan bahaya dalam keadaan sosioekonomi bagi keluarga disebabkan sekatan pergerakan, dengan lebih banyak keluarga mengalami kemiskinan, yang menyebabkan reaksi ganas".

Di Brazil, 648 pembunuhan wanita dicatatkan pada separuh pertama tahun ini, peningkatan kecil berbanding tempoh yang sama pada 2019 menurut Forum Brazil untuk Keselamatan Awam.

Meskipun pemerintah telah melancarkan kempen untuk mendorong wanita supaya membuat aduan, forum itu menyatakan bahawa langkah-langkah yang dilakarkan untuk membantu mangsa tetap tidak mencukupi.

"PELITUP-19"

Di peringkat global, PBB menyatakan hanya satu dari setiap lapan negara mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan pandemik terhadap wanita dan kanak-kanak.

Di Sepanyol, mangsa secara diam-diam dapat meminta pertolongan di farmasi dengan menggunakan kata kod "pelitup-19", dan beberapa persatuan Perancis menubuhkan tempat hubungan di pasar raya.

"Wanita yang datang sudah terdesak. Mereka tidak lagi dapat bertahan dan dalam keadaan bahaya," kata Sophie Cartron, penolong pengarah sebuah persatuan yang bekerja di sebuah pusat beli-belah dekat Paris.

Usaha menganjurkan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita pada 25 November, masih belum dapat dipastikan akibat sekatan berkaitan pandemik COVID-19.

Meskipun demikian, perarakan bagi memperjuangkan hak wanita terus berlangsung baru-baru ini di Costa Rica, Guatemala, Liberia, Namibia dan Romania.

'KEJANTANAN TOKSIK' BERLELUASA PUNCA MASALAH

Tamara Mathebula dari Suruhanjaya Afrika Selatan bagi kesamarataan jantina menyifatkan "kejantanan toksik" yang "berleluasa".

"Terdapat jurang gaji antara jantina yang semakin meluas dan terus melebar semasa pandemik COVID-19," katanya kepada AFP.

"Keganasan berdasarkan jantina semakin buruk" katanya, dan akibatnya sangat serius.

Pada Julai, PBB menganggarkan bahawa sekatan pergerakan selama enam bulan boleh menyebabkan tambahan 31 juta kes keganasan seksual di seluruh dunia dan tujuh juta kehamilan yang tidak diinginkan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita