Skip to main content

Dunia

Pameran 600 orkid Taman di Pesisiran rai 60 tahun hubungan diplomatik SG-Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Pameran 600 orkid Taman di Pesisiran rai 60 tahun hubungan diplomatik SG-Malaysia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Aug 2025 07:22AM Dikemas Kini : 16 Aug 2025 07:23AM
SINGAPURA: Lebih 600 kuntum orkid dipamerkan di Taman di Pesisiran sehingga 7 September bagi meraikan 60 tahun hubungan diplomatik Singapura-Malaysia.

Ia dipamerkan di tengah-tengah latar seni bina Malaysia, hasil kraftangan halus dan pakaian tradisional bagi turut meraikan tradisi dan budaya negara itu.

Dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, pameran 'Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids' menampilkan lebih 15 jenis orkid, bersama kraftangan dan artifak asli seperti wau bulan Kelantan, tekstil Pahang, bakul anyaman dan penutup kepala suku kaum Sabah, serta pakaian tradisional Orang Ulu dari Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Taman di Pesisiran, Felix Loh, berkata antara tarikan utama ialah orkid selipar wanita (Paphiopedilum Maudiae), iaitu kacukan daripada spesies yang berasal dari utara Semenanjung Malaysia dan Borneo, yang terkenal dengan kantung berbentuk selipar yang unik.

“Dihargai kerana dedaunnya yang berbintik dan bunga berwarna hijau atau 'burgundy' yang menyerlah, ia mencerminkan kekayaan warisan botani Malaysia.

“Sama berharga ialah kraftangan dan artifak tradisional yang diperoleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia dari seluruh negara, menambah dimensi budaya pada pameran ini,” katanya semasa majlis pelancaran pada Jumaat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata acara ini memperingati hubungan kukuh dan berterusan antara dua negara jiran yang sentiasa bersama melalui zaman perubahan dan cabaran.

“Kerjasama kita meliputi perdagangan dan prasarana hingga keselamatan, pelancongan, pendidikan dan kemampanan alam sekitar. Visi bersama kita mesti menjamin persahabatan berkekalan, kemakmuran bersama dan masa depan lebih cerah untuk semua rakyat,” katanya.

'Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids' diadakan di Mediterranean Garden di bahagian Flower Dome Taman di Pesisiran dan dibuka dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam sepanjang tempoh pameran.
Sumber : Bernama/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita