Skip to main content

Dunia

Palestin ucap terima kasih kepada M'sia; selamatkan warga diculik

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

Kementerian itu dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa (18 Okt) turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa, berusia 31 tahun, sehari selepas diculik sekumpulan rakyat Malaysia yang dipercayai direkrut oleh agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

“Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya."

“Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sep hingga 4 Okt lalu.

Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

Jumaat lalu, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Omar Z. M. Albelbaisy Raeda bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang, pada 10.40 malam, 28 Sep lalu mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan.

Orang ramai diminta untuk tidak menimbulkan spekulasi berhubung kes penculikan warga Palestin yang sudah dibawa ke mahkamah.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebarang spekulasi yang ditimbulkan boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Dis depan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (18 Okt). 



 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita