Skip to main content

Dunia

Palestin masih tidak selamat 6 bulan selepas gencatan senjata Gaza - Ketua Hak Asasi PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Palestin masih tidak selamat 6 bulan selepas gencatan senjata Gaza - Ketua Hak Asasi PBB

Warga Palestin dibunuh kerana menghampiri atau berada berdekatan sempadan tentera Israel yang sering berubah di Gaza. (Gambar fail: AP)

BIRMINGHAM: Enam bulan selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza, warga Palestin di seluruh wilayah itu kekal tidak selamat memandangkan serangan Israel berterusan hampir setiap hari, kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (10 Apr), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata sekurang-kurangnya 738 warga Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, termasuk 32 kematian yang dicatatkan sejak awal April, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Palestin.

"Corak pembunuhan yang tidak berkesudahan ini mencerminkan sikap terus mengabaikan nyawa warga Palestin, yang diburukkan lagi dengan perlindungan sewenang-wenangnya daripada tindakan undang-undang," kata Encik Turk dalam satu kenyataan.

Beliau menarik perhatian kepada corak serangan dan tembakan berterusan yang menjejaskan orang awam di rumah, tempat perlindungan dan ruang awam sepanjang 10 hari lalu, termasuk insiden di khemah yang menempatkan keluarga yang hilang tempat tinggal, di jalanan dan di dalam kenderaan, serta di kemudahan perubatan dan bilik darjah.

Antara yang terbunuh ialah wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, kontraktor kemanusiaan dan seorang wartawan, katanya.

Encik Turk memetik pembunuhan seorang budak perempuan gred tiga pada 9 April apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah perkhemahan yang sesak di Beit Lahiya di utara Gaza, tempat mangsa sedang mengikuti kelas sementara.

Sehari sebelumnya, seorang wartawan Al Jazeera terbunuh di Gaza City dalam serangan dron.

Tentera Israel kemudian mendakwa wartawan itu adalah ejen Hamas, dakwaan yang menurut Encik Turk, telah dibuat dalam kes lain melibatkan wartawan, tanpa bukti bebas yang boleh disahkan.

Pejabat hak asasi manusia PBB merekodkan 294 wartawan Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023.

Pada 6 April, tentera Israel menembak sebuah kenderaan yang membawa kakitangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, membunuh pemandunya.

Encik Turk berkata 589 pekerja bantuan terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023, termasuk 397 yang bekerjasama dengan PBB.

"Bilangan wartawan dan kakitangan kemanusiaan yang terbunuh di Gaza tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Encik Turk sambil menambah bahawa keganasan itu menjadikan tugas pelaporan dan kerja kemanusiaan semakin berbahaya.

Beliau juga memberi amaran bahawa warga Palestin dibunuh kerana menghampiri atau berada berdekatan sempadan tentera Israel yang sering berubah di Gaza, yang dikenali sebagai "garisan kuning," yang menurut beliau tidak ditandakan dengan jelas.

Menyasarkan orang awam yang tidak terlibat secara langsung dalam permusuhan merupakan jenayah perang, tanpa mengira betapa dekat mereka dengan kedudukan tentera, tambahnya.

Encik Turk berkata keadaan diburukkan lagi oleh sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, pemusnahan infrastruktur awam dan ketidakstabilan yang berterusan di Gaza.

"Warga Palestin tidak mempunyai pelan untuk kelangsungan hidup. Apa sahaja yang mereka lakukan atau tidak lakukan, ke mana sahaja mereka pergi atau tidak pergi, tiada keselamatan atau perlindungan diberikan kepada mereka," katanya.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil langkah konkrit bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab dan menamatkan pencabulan undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan bahawa orang awam mesti dibenarkan untuk mula membina semula kehidupan mereka selepas konflik yang berpanjangan.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita