Skip to main content

Dunia

Palestin kecam keganasan pendatang haram Israel di Tebing Barat

Anggaran Waktu Membaca:
Palestin kecam keganasan pendatang haram Israel di Tebing Barat

Empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh pendatang haram Israel di barat daya Nablus, Tebing Barat yang diduduki. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Jul 2026 05:22PM
RAMALLAH: Pejabat Presiden Palestin pada Jumaat (24 Jun) mengecam tindakan tentera Israel dan pendatang haram Israel yang didakwa menyasarkan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), kecaman itu dibuat selepas empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh pendatang haram Israel di barat daya Nablus.

Pejabat Presiden Palestin turut mendakwa penduduk awam serta harta benda mereka diserang di Urif, Surra, Imatin, Far'ata, Umriha dan Masafer Yatta.

Ia turut mengecam serbuan tentera Israel di Hospital Pakar Nablus yang didakwa menyaksikan petugas perubatan dan orang awam diugut serta diserang, selain dua rakyat Palestin dibawa secara paksa.

Pejabat Presiden Palestin menyifatkan pemerintah Israel bertanggungjawab terhadap tindakan kumpulan pendatang haram Israel yang didakwa menyerang rakyat Palestin yang tidak bersenjata hampir setiap hari.

Menurut pejabat itu, seramai 87 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak awal tahun ini, termasuk 21 yang didakwa ditembak oleh pendatang haram Israel.

Pejabat Presiden Palestin turut mendakwa pemerintah Israel memberi sokongan kewangan dan politik kepada kumpulan pendatang haram Israel bagi memperhebat serangan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur, selain melaksanakan rancangan pemindahan secara paksa.

Ia turut mendakwa Israel terus melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza meskipun gencatan senjata telah diumumkan.

Pejabat Presiden Palestin memberi amaran tindakan berterusan itu boleh meningkatkan ketegangan di Tebing Barat yang diduduki.

Ia turut mengecam keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel berhubung langkah mempercepat pembinaan serta pengesahan pos penempatan haram, memperkukuh kehadiran tentera di Tebing Barat yang diduduki, memperhebat serbuan dan mengenakan kepungan di Nablus serta kawasan sekitarnya.

Pejabat Presiden Palestin menggesa pentadbiran Amerika Syarikat campur tangan bagi mendesak Israel menghentikan tindakan pendatang haram Israel.

Masyarakat antarabangsa turut digesa mengambil tindakan bagi melindungi rakyat Palestin serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas dakwaan jenayah tersebut.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita