Skip to main content

Dunia

Palestin gesa sekatan, pengharaman senjata ke atas Israel

Masyarakat antarabangsa perlu melangkaui kenyataan kecaman dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan dan pengharaman senjata terhadap Israel, menurut Timbalan Menteri Luar Palestin bagi Ehwal Politik Dr Omar Awadallah.

Anggaran Waktu Membaca:
Palestin gesa sekatan, pengharaman senjata ke atas Israel

Timbalan Menteri Luar Palestin bagi Ehwal Politik Dr Omar Awadallah. (Gambar: X/@omarawd)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 07:41PM
  • Dr Omar Awadallah menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan dan pengharaman senjata terhadap Israel bagi menghentikan genosid serta peluasan penempatan haram di Palestin.
  • Beliau menekankan keperluan sokongan kewangan kepada pemerintah Palestin untuk memastikan perkhidmatan asas dan membina semula prasarana yang terjejas akibat krisis kewangan.
  • Dr Omar turut menyeru pengiktirafan Palestin sebagai negara penuh di PBB dan tindakan lebih tegas untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan di peringkat antarabangsa.
  • Beliau mengalu-alukan langkah Malaysia dan negara lain menentang penempatan haram Israel serta menegaskan perlunya perlindungan operasi agensi PBB di wilayah Palestin yang diduduki.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa perlu melangkaui kenyataan kecaman dan mengambil tindakan tegas, termasuk mengenakan sekatan dan pengharaman senjata terhadap Israel, menurut Timbalan Menteri Luar Palestin bagi Ehwal Politik Dr Omar Awadallah.

Beliau berkata langkah sedemikian diperlukan untuk menghentikan genosid di Carikan Gaza, membendung peluasan penempatan haram dan pengilhakan di Tebing Barat serta menghentikan keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin.

"Kami bercakap mengenai sekatan bukan kerana kami menggemarinya, tetapi kerana kami kini berdepan sebuah negara yang bertindak sewenang-wenangnya dan menganggap dirinya mengatasi undang-undang antarabangsa," katanya.

Dr Omar berkata demikian dalam wawancara secara maya menerusi program Bernama World bertajuk 'Palestine Beyond The Headlines: The Push For Statehood' pada Khamis (10 Sep).

Menurutnya, pengharaman senjata akan menghalang Israel daripada menggunakan senjata yang dibekalkan negara lain untuk membunuh rakyat Palestin.

Sekatan yang menyasarkan penempatan haram, produk dari penempatan tersebut dan institusi kewangan pula boleh membantu menghentikan kegiatan penempatan haram Israel.

Dr Omar menegaskan sekatan bukan sesuatu yang diminta Palestin tanpa sebab, sebaliknya satu keperluan dan sebahagian daripada tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk bertindak.

GESA LEBIH BANYAK SOKONGAN UNTUK PEMERINTAH PALESTIN

Dr Omar turut menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan kepada pemerintah Palestin dan belanjawannya bagi memperkukuh daya tahan masyarakat Palestin di tengah-tengah krisis kewangan berpanjangan.

Beliau berkata ketidakupayaan pemerintah membayar gaji anggota keselamatan, pekerja penjagaan kesihatan, guru dan kakitangan awam lain sudah menjejas khidmat penting dengan teruk.

Ini termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial, bekalan air dan sanitasi.

Kekurangan sumber kewangan juga menyebabkan pemerintah tidak dapat membaiki prasarana yang rosak dan membangunkan semula institusi yang terjejas, sedang kadar pengangguran kekal tinggi dan pembangunan hampir terhenti.

Menurut Dr Omar, keadaan itu bertujuan melemahkan pemerintah Palestin dan mewujudkan rasa terdesak dalam kalangan rakyat Palestin sehingga berpotensi memaksa mereka meninggalkan tanah air sendiri.

MAHU KEANGGOTAAN PENUH PBB

Menyentuh keutamaan Palestin pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Dr Omar berkata masyarakat antarabangsa perlu mengambil "langkah positif yang tidak boleh diundurkan".

Ini termasuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaannya sebagai anggota penuh PBB.

Palestin juga akan menggesa langkah lebih tegas bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, di samping mendapatkan sokongan lebih besar terhadap Deklarasi New York sebagai peta hala tuju bagi melaksanakan penyelesaian dua negara.

Dr Omar berkata Palestin turut mahu usaha antarabangsa dipertingkatkan bagi menamatkan pendudukan Israel.

Matlamat akhirnya adalah untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat serta menyatukan semula rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis, dan Carikan Gaza.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa agar melindungi operasi agensi-agensi PBB di wilayah Palestin yang diduduki, khususnya Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang menurutnya berdepan serangan yang semakin meningkat.

Dr Omar turut mengalu-alukan langkah Malaysia dan negara-negara lain terhadap penempatan haram Israel.

Beliau menegaskan tindakan nyata diperlukan bagi membendung keganasan selanjutnya dan peluasan wilayah Israel.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita