Skip to main content

Dunia

Palestin beri amaran peningkatan serangan peneroka Israel di Tebing Barat

Anggaran Waktu Membaca:
Palestin beri amaran peningkatan serangan peneroka Israel di Tebing Barat

Serangan di beberapa kawasan di Tebing Barat didakwa mengakibatkan rumah dan sebuah masjid dibakar, selain harta benda dimusnahkan serta pokok zaitun dibakar. (Gambar: AP News)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 07:29AM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 07:35AM
RAMALLAH: Kepresidenan Palestin pada Ahad (19 Jul) memberi amaran mengenai peningkatan serangan oleh peneroka haram Israel di beberapa kawasan di Tebing Barat yang didakwa berlaku di bawah perlindungan tentera Israel.

Jurucakap rasmi Kepresidenan Palestin, Nabil Abu Rudeineh, berkata serangan itu menyasarkan beberapa kampung dan bandar di wilayah Hebron, Nablus dan Ramallah.

Menurut beliau, serangan tersebut mengakibatkan rumah dan sebuah masjid dibakar, penduduk Palestin diserang, harta benda dimusnahkan, ternakan dicuri serta puluhan pokok zaitun dibakar.

Beliau mendakwa tindakan itu merupakan sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan merampas tanah serta mengusir rakyat Palestin dari kawasan mereka.

Encik Abu Rudeineh berkata keadaan itu berlaku ketika rakyat Palestin masih berdepan konflik berterusan, khususnya di Carikan Gaza, sambil mendakwa tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan walaupun gencatan senjata tidak dipatuhi sepenuhnya.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya campur tangan dengan segera bagi memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata dan memulakan fasa kedua pelaksanaan Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Encik Abu Rudeineh turut mendakwa pemerintah Israel bertanggungjawab terhadap tindakan peneroka Israel kerana memberikan perlindungan, sokongan dan kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Beliau juga menggesa Amerika Syarikat mengambil langkah lebih tegas bagi menekan Israel supaya menghentikan tindakan agresif serta memastikan gencatan senjata dilaksanakan.

Encik Abu Rudeineh menegaskan rakyat Palestin akan terus mempertahankan tanah air mereka dan mengulangi pendirian bahawa matlamat mereka adalah untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita