Palestin anggap pemerintah baru Israel tetap sama atau lebih teruk daripada Netanyahu
Kumpulan Hamas pada Ahad (13 Jun) berkata mereka tidak mengharapkan berlakunya perubahan positif daripada kerajaan Israel pasca-Netanyahu, lapor Agensi Anadolu (AA).
(Gambar: AFP)
GAZA: Kumpulan Hamas pada Ahad (13 Jun) berkata mereka tidak mengharapkan berlakunya perubahan positif daripada pemerintah Israel pasca-Netanyahu, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami tidak mengharapkan perubahan dalam kerajaan penceroboh, kerana mereka bersatu dengan dasar membunuh dan merampas hak Palestin," tulis jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri di Twitter.
Abu Zuhri mengaitkan kegagalan bekas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membentuk kerajaan sebagai "kemenangan" dalam pertempuran 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei.
Di bawah perjanjian gabungan baharu antara lapan parti Israel, Perdana Menteri Neftali Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun sebelum diambil alih pula oleh Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya.
Pembentukan pemerintah baru itu sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan 12 tahun Netanyahu.
Setiausaha Agung Pergerakan Inisiatif Kebangsaan Palestin Mustafa Barghouti, memberi amaran bahawa kerajaan Bennett akan menyokong penyelesaian pendudukan haram dan diskriminasi kaum serta dilihat bakal lebih ekstrem berbanding pemerintahan sebelum ini.
"Pemerintah baru ini tiada bezanya dengan pemerintahan Netanyahu, kerana ia adalah kerajaan penjajah, penceroboh dan mengamalkan diskriminasi kaum seperti pemerintah sebelum ini dan bahkan lebih teruk," kata Barghouti.
Ia dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Bennett pada Ahad mengenai perluasan kawasan penempatan ke kawasan C Tebing Barat.
Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk bahagian timur Baitulmakdis, dibahagikan kepada tiga bahagian - Kawasan A, B, dan C - dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai.
Barghouti menyeru warga Palestin dan dunia untuk menghadapi "pemerintah perkauman" melalui cara penentangan, boikot, dan sekatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.