Skip to main content

Dunia

Palang Merah S'pura sumbang lagi S$2.4 juta bantu krisis pelarian Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
 Palang Merah S'pura sumbang lagi S$2.4 juta bantu krisis pelarian Ukraine

Agensi Pelarian PBB mencatat 2,011,312 pelarian Ukraine sejak bermulanya pencerobohan Rusia. (Gambar: AFP/Sergei SUPINSKY)

Diterbitkan : 10 Mar 2022 03:37PM

SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) akan menyumbang lagi $2.4 juta untuk membantu krisis pelarian Ukraine.

Demikian diumumkan oleh pertubuhan kemanusiaan itu hari ini (10 Mac).

Dalam kenyataan medianya, SRC menyatakan ini merupakan bantuan kedua kewangan yang bertujuan untuk membantu mereka di Ukraine serta lagi enam negara jirannya - Poland, Hungary, Lithuania, Slovakia, Moldova dan Romania.

Ini akan dikerahkan oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Palang Merah Kebangsaan yang menerima pelarian dari Ukraine dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), yang akan menerajui usaha-usaha bantuan bagi masyarakat yang terjejas.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Rabu (9 Mac) menganggarkan kini terdapat lebih 2.1 juta pelarian yang menyusuli pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari.

"Tumpuan Palang Merah adalah untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas, termasuk golongan bawah umur yang tiada penjaga, wanita tunggal yang menjaga anak-anak, warga tua dan mereka yang kurang upaya," menurut SRC.

"Selain menyediakan bantuan segera, tumpuannya juga adalah untuk menangani keperluan asas, tempat perlindungan kecemasan, perlindungan, kesihatan, air, sanitasi, kebersihan dan sokongan psikososial," tambahnya.

Bahagian pertama bantuan kewangan, yang bernilai AS$100,000 (S$135,000) tiba di Ukraine pada 4 Mac dan diagihkan oleh Palang Merah Ukraine (URCS) dan IFRC sebagai sebahagian daripada respons berterusan.

Menurut SRC cabang tempatan URCS dan Pasukan Respons Kecemasan URCS sedang berusaha mewujudkan tempat-tempat untuk mengagihkan makanan, pakaian dan selimut.

Mereka juga sedang memindahkan mangsa dan orang awam, memberikan sokongan kepada bomba dan menawarkan bantuan, selain menyediakan bantuan psikologi dan maklumat.

SRC menyatakan sumbangan derma kepada usahanya itu, yang diadakan antara 25 Februari dengan 31 Mei, sudah mencecah S$3 juta, dengan Bitdeer Group dan Yayasan Temasek masing-masing menyumbang S$300,000 and AS$100,000.

"Kami berterima kasih atas perpaduan dan sokongan daripada derma masyarakat dan berbesar hati dengan usaha-usaha anggota masyarakat yang mengumpul dana," kata Setiausaha Agung SRC dan CEO Benjamin William.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita