Palang Merah Singapura ikrar bantuan S$50,000 bagi mangsa empangan runtuh Laos
Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) pada Rabu (25 Jul) melancarkan pungutan derma awam dan mengikrarkan S$50,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan menyusuli kejadian empangan runtuh di Laos.

Mangsa empangan runtuh Laos yang berada di pusat perlindungan (Gambar: REUTERS)
SINGAPURA: Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) pada Rabu (25 Jul) melancarkan pungutan derma awam dan mengikrarkan S$50,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan menyusuli kejadian empangan runtuh di Laos.
Sejauh ini 19 orang terkorban dan lebih 3,000 perlu diselamatkan, menurut media tempatan, selepas rumah-rumah hanyut dan para penduduk hilang akibat dibenami air.
Derma terkumpul akan digunakan untuk membeli dan mengagihkan barang-barang keperluan seperti perubatan, selimut dan tikar bagi mereka yang terselamat, serta bantuan bencana dan menyelamat, menurut kenyataan media SRC.
Menyifatkan kesan runtuh empangan itu sebagai "dahsyat", pertubuhan tersebut turut menyatakan ia akan bekerja rapat dengan Persatuan Palang Merah Lao untuk mengerahkan pasukan awal seramai tiga orang terdiri daripada sukarelawan berpengalaman pada Khamis.
Pasukan itu akan menghantar bekalan bantuan kepada sekitar 1,000 keluarga dan menilai keadaan di tempat kejadian untuk menentukan keperluan segera dan jangka waktu pertengahan.
"Dengan hujan berterusan dan angin kencang dijangkakan beberapa hari ini, situasi masih tidak menentu," menurut setiausaha agung dan CEO SRC Benjamin William.
"Kami amat bimbang tentang mereka yang terselamat dan rancangan sudah dilaksanakan bagi SRC untuk memberikan respons segera."
Rayuan derma dibuat sehari selepas pemerintah Singapura mengumumkan pada Selasa bahawa negara ini menawarkan bantuan dan bekalan makanan segera kepada kawasan yang terjejas.
Derma kepada Palang Merah Singapura boleh dihulurkan kepada Red Cross House, 15 Penang Lane, Isnin hingga Jumaat antara 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Derma secara dalam talian menerusi perbankan Internet POSB/DBS dan PayLah! akan diterima menjelang lewat minggu depan, menurut pertubuhan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.