Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakistan selar India atas kenyataan Kashmir

Pakistan pada Rabu (18 Sep) membalas "retorik bersifat terlalu nasionalisme" oleh New Delhi, selepas menteri luar India berikrar akan mengambil semula bahagian Kashmir yang kini ditadbir Islamabad.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakistan selar India atas kenyataan Kashmir

Gambar fail Perdana Menteri Pakistan Imran Khan. (Gambar: Aly Song/Reuters)

Diterbitkan : 18 Sep 2019 07:05PM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 07:10PM

ISLAMABAD: Pakistan pada Rabu (18 Sep) membalas "retorik bersifat terlalu nasionalisme" oleh New Delhi, selepas menteri luar India berikrar akan mengambil semula bahagian Kashmir yang kini ditadbir Islamabad.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara kedua-dua seteru bersenjatakan nuklear itu.

Dua negara jiran itu bertikam lidah sejak New Delhi pada bulan lalu melucutkan status autonomi wilayah Kashmir yang ditadbir India dan mengenakan sekatan keselamatan ke atas wilayah itu, yang mencetuskan kemarahan Pakistan.

Kashmir, yang terbahagi dua antara kedua-dua negara itu sejak 1947, mencetuskan dua perang besar dan banyak pertikaian antara kedua-dua negara tersebut.

"Kami mengutuk keras dan menolak kenyataan yang mengapi-apikan ini dan bersifat tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh menteri ehwal luar India," menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

"Kenyataan tidak bertanggungjawab dan bersifat bermusuhan ini berpotensi mengeruhkan lagi keadaan dan menggugat keamanan dan keselamatan serantau," tambahnya.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam setelah Encik Subrahmanyam Jaishankar memberitahu satu sidang media pada Selasa bahawa bahagian Kashmir yang ditadbir Pakistan adalah "sebahagian daripada India dan kita menjangkakan satu hari nanti kita akan mempunyai ... bidang kuasa fizikal ke atasnya."

Ketegangan memuncak sejak New Delhi mengambil langkah untuk menukar status wilayah di Himalaya itu, dengan Pakistan berkali-kali membandingkan Perdana Menteri India Narendra Modi dengan Hitler dan menggesa campur tangan masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan melancarkan mogok di merata negara untuk membantah langkah itu dan berikrar akan membangkitkan isu berkenaan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada lewat bulan ini.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan